Friday, May 2, 2014

Sofia Jane menang Pelakon Utama Terbaik di Anugerah Seni BOH

Pelakon terkenal Sofia Jane memenangi trofi Pelakon Utama Terbaik kategori teater di Anugerah Seni BOH Cameronian ke-11 yang berlangsung malam tadi.

Sofia memenangi trofi tersebut atas kecemerlangannya membawakan watak Bulan dalam monolog Laut Lebih Indah Dari Bulan dalam Teater Kompilasi arahan Nam Ron.

Pelakon filem Hanyut itu menewaskan pelakon terkenal pemenang pelbagai anugerah iaitu Sharifah Amani dari teater yang sama dan pelakon Izzue Islam dari teater Maduku Kalut.

Menerusi teater yang sama, pelakon pertama kali di pentas teater, Aqasha membawa pulang trofi Pelakon Pembantu Terbaik (teater) menewaskan Vanidah Imran.

Masing-masing membawa pulang sebuah trofi yang telah disampaikan oleh penggiat teater terkenal Fatimah Abu Bakar dan Melissa Saila.

Walau bagaimanapun, pengarah Teater Kompilasi, Nam Ron tewas dalam tiga pencalonan yang disenaraikan iaitu Skrip Asal Terbaik dan Pengarah Terbaik kepada Fasyali Fadzly dari Teater Juta Juta.

Anugerah Seni BOH Cameronian dianjurkan oleh BOH Plantations dan Kakiseni, membawa penonton ke era 60an di Stadium Negara.

Di majlis itu, penghargaan buat tiga legenda seni tanahair Seniman Agung Tan Sri P.Ramlee, penggiat teater Datuk Krishen Jit dan Sasterawan Negara Dato' Dr. Usman Awang turut diberikan.

Majlis itu turut dihadiri Yang Berbahagia Dato' Norliza Rofli Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Caroline Russel Ketua Pegawai Eksekutif BOH Plantations, penggiat seni tanahair dan orang awam.

Turut mendapat perhatian pada malam itu adalah persembahan duo Fatimah Abu Bakar dan Melissa Saila yang mempersembahkan puisi nukilan Usman Awang "Kekasih" yang diberikan nafas lagu puisi.

Majlis itu dikemudikan oleh Shelah (Edwin Sumun) dan Harith Iskander.

Acara Anugerah Seni BOH Cameronian ke-11 diarahkan oleh Ida Nerina.

Sumber: Astro Awani

0 comments:

Post a Comment