Showing posts with label the band. Show all posts
Showing posts with label the band. Show all posts

Friday, September 26, 2014

Awal Ashaari : Bayaran Tertunggak Hanya Salah Faham - Produksi 'The Band'

Awal
Awal Ashaari

PETALING JAYA: Pihak produksi yang menerbitkan program realiti The Band (siaran Astro) menjelaskan, isu pihaknya tidak membuat pembayaran penuh kepada pengacara Awal Ashaari adalah satu salah faham.

Jurucakap produksi tersebut berkata, selepas laporan mengenai kekesalan Awal yang masih belum menerima tunggakan bayaran sebanyak 80 peratus disiarkan mStar Online, pihaknya terus menghubungi pengacara itu bagi menyelesaikan masalah tersebut sebagai bukti pihaknya tidak pernah lari dalam melaksanakan janji.

"Sebenarnya terdapat sedikit salah faham antara pihak kami dan Awal. Dia tidak tahu bahawa dia masih dalam proses untuk menerima bayarannya itu.

"Takkanlah dalam produksi itu hanya Awal sahaja yang tidak dapat bayarannya, sedangkan artis lain telah mendapat wang masing-masing. Selepas Awal mendedahkan yang dia belum menerima bayarannya, kami terus menghubungi pengacara itu bagi menjelaskan situasi sebenar," katanya yang menghubungi mStar Online pada Khamis.

Pada 17 September lalu menerusi laporan mStar Online, Awal berasa kesal apabila syarikat produksi rancangan The Band masih lagi belum menjelaskan baki bayaran tugasnya.

Sementara itu, kata jurucakap produksi itu, pihaknya akan mengadakan sidang media khas pada tengah hari Jumaat (hari ini) bagi menjelaskan situasi sebenar yang berlaku antara pihaknya dan Awal.

"Pihak kami ingin menyelesaikan perkara ini secara baik dan profesional, lebih-lebih lagi kita saling bekerjasama dalam industri seni hiburan tempatan.

"Kerana itu, pihak kami mahu membuat penjelasan secara terperinci pada sidang media yang akan dianjurkan esok (Jumaat). Selain itu kami juga akan membuat beberapa pengumuman lain," ujarnya.

The Band yang mula bersiaran pada akhir Mac lalu merupakan program pencarian bakat berkumpulan lelaki dan wanita yang memberi penekanan kepada aspek seperti kebolehan vokal, gaya tari, keterampilan, penampilan imej dan juga aura sebagai seorang penghibur.

Antara selebriti yang terlibat sebagai tenaga pengajar ialah Damian Mikhail, Alam Wakaka dan Wahyu Rahman.

Manakala Datuk Aznil Nawawi, Yusry Abdul Halim dan Syafinaz Selamat sebagai juri program itu.
Sumber: mstar

Thursday, September 18, 2014

Awal Ashaari Tuntut Produksi 'The Band' Jelaskan Bayaran


Awal Ashaari berharap produksi yang menerbitkan program The Band dapat menjelaskan bayarannya segera.

PETALING JAYA: Pengacara Awal Ashaari meluahkan rasa kesal apabila sebuah syarikat produksi yang menerbitkan program realiti The Band (siaran Astro) masih lagi belum menjelaskan baki bayaran tugasnya.

Awal, 33, berkata dia pelik kerana kesemua selebriti yang terlibat dengan program itu sudah menerima bayaran masing-masing, sebaliknya dia sebagai pengacara masih belum menerima sebarang wang selepas program itu tamat pada awal Jun lalu.

"Program itu sudah pun selesai tiga bulan lalu dan sehingga kini saya masih belum menerima baki bayaran sebanyak 80 peratus. Bukannya sedikit.

"Yang peliknya, apabila saya tanya artis-artis lain yang terlibat, mereka semua sudah menerima bayaran masing-masing.

"Dan kemudian bertanya pihak produksi pula, mereka kata, Astro belum membayar mereka lagi, sedangkan pihak Astro sudah menjelaskan wang mereka kesemuanya," kata Awal.

Tambah Awal, dia berharap produksi berkenaan mengambil perkara itu lebih serius memandangkan sudah beberapa kali pihak tersebut memberi pelbagai alasan apabila ditanya soal penjelasan bayarannya.

Kata suami kepada aktres Scha Al-Yahya, dia juga berharap agar perkara ini dapat diselesaikan secara baik memandangkan tiada masalah yang berlaku antara mereka sepanjang bekerjasama dalam program tersebut.

"Rasanya saya sudah menjalankan tanggungjawab mengendalikan program ini dengan sebaik-baiknya dan antara saya dan produksi, kami tiada masalah.

"Takkan saya perlu meminta 'sedekah' untuk dapatkan duit sendiri? Lagipun apabila saya menandatangani sesebuah kontrak, saya sudah merancang untuk menggunakan wang tersebut untuk tujuan tertentu.

"Tetapi apabila ia tersangkut, perancangan saya untuk menjelaskan beberapa perkara peribadi juga tertangguh," ujarnya.

The Band yang mula bersiaran pada akhir Mac lalu merupakan program pencarian bakat berkumpulan lelaki dan wanita yang memberi penekanan kepada aspek seperti kebolehan vokal, gaya tari, keterampilan, penampilan imej dan juga aura sebagai seorang penghibur.

Antara selebriti yang terlibat sebagai tenaga pengajar ialah Damian Mikhail, Alam Wakaka dan Wahyu Rahman. Manakala Datuk Aznil Nawawi, Yusry Abdul Halim dan Syafinaz Selamat sebagai juri program itu.
Sumber: Mstar