Showing posts with label artis bertunang. Show all posts
Showing posts with label artis bertunang. Show all posts

Wednesday, March 25, 2015

Hairul Azreen Tidak Muncul Majlis Pertunangan Sendiri ?


PETALING JAYA: Pelakon Hairul Azreen menjelaskan dia sengaja tidak hadir ke majlis pertunangannya dengan Hanis Zalikha yang berlangsung di kediaman aktres itu di Bukit Jelutong dekat sini pada Sabtu lalu.
Hairul, 27, berkata, dia mahu memberi penghormatan kepada keluarganya untuk mewakilinya pada majlis itu selain ingin merasai debaran bergelar tunangan orang.

"Saya memang sengaja tidak pergi masa bertunang malah tidak muncul selepas majlis selesai berlangsung kerana ingin memberi peluang kepada keluarga terutamanya ibu untuk mengenali bakal menantunya lebih dekat.

"Sebelum ini pun saya sudah melamar Hanis dalam sebuah program siaran langsung jadi kali ini biarlah saya diwakili keluarga sahaja," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Ahad.

Pasangan itu bakal melangsungkan pernikahan pada 5 Jun depan manakala majlis resepsi akan diadakan di Hotel Majestic Kuala Lumpur pada 14 Jun.

Tambah Hairul, biarpun tidak menghadiri majlis pertunangannya dia tetap berasa gementar tentang majlis berkenaan dan bersyukur semuanya berjalan lancar.

"Gementar melamar Hanis semasa dalam program Gegar Verganza pun tidak macam ini dan macam-macam yang saya fikirkan.


Ibu Hairul menyarungkan cincin pertunangan di jari Hanis. Foto Ihsan Omaroza.
"Tetapi Alhamdulillah semuanya selesai dan saya harap peminat dapat doakan yang baik-baik untuk kami berdua," katanya.

Dalam pada itu, Hairul berkata, dia sendiri meminta disatukan dengan Hanis pada 5 Jun depan kerana tidak mahu menunggu lama untuk memperisterikan wanita itu.

Jelas Hairul, sebelum melamar Hanis dalam program Gegar Verganza pada Januari lalu, dia sudah bersedia untuk ke alam perkahwinan dan tidak melihat ada sebarang sebab untuk dia melambat-lambatkan perkara yang dituntut dalam agama Islam.

"Sebelum melamar Hanis lagi saya sudah bersedia dari semua segi terutamanya dari segi kewangan dan sebab itu saya berani melamarnya.

"Atas dasar itu juga saya tidak mahu melengah-lengahkan perkara baik dan hanya mengikat tali pertunangan selama tiga bulan sahaja," katanya.

Sementara itu, Hairul berkata, dia kini sibuk menguruskan studionya yang menyediakan set hospital untuk tujuan penggambaran drama dan filem.

Jelas Hairul, setakat ini dia menerima banyak permintaan daripada produksi untuk menggunakan set tersebut dan merancang untuk mengembangkan lagi bisnesnya itu.

"Saya sudah lima bulan tidak berlakon kerana sibuk menguruskan studio saya dan Alhamdulillah permintaan untuk menggunakan set hospital sangat tinggi daripada produksi.

"Malah saya merancang untuk mengembangkan lagi perniagaan itu selain berhasrat melibatkan diri dalam bisnes lain selepas ini," ujarnya.

Sumber: Mstar

Tuesday, March 3, 2015

Hafiz Suip selamat ikat pertunangan dengan Nureffy

Penyanyi Hafiz Suip selamat ikat pertunangan dengan Nureffy
Penyanyi Hafiz Suip selamat mengikat tali pertunangan dengan gadis pilihannya, Nureffy Jasreel Abdullah, 22, semalam di Kuching, Sarawak. -Foto oleh Project Two-Pi
 
KUALA LUMPUR: Bekas peserta realiti program nyanyian Akademi Fantasia, Hafiz Suip selamat mengikat tali pertunangan dengan gadis pilihannya, Nureffy Jasreel Abdullah, 22, semalam di Kuching, Sarawak.

Penyanyi yang popular menerusi lagu Awan Nano ini melangsungkan pertunangannya di Hotel Pullman selepas waktu solat Isyak.

Pada majlis pertunangan tersebut, Hafiz menyerahkan 6 dulang hantaran yang kemudiannya dibalas 11 dulang oleh pihak perempuan.

Dalam pada itu, kedua-dua keluarga bersetuju untuk mengikat tali pertunangan selama setahun namun tidak menetapkan tarikh untuk majlis perkahwinan mereka kelak.
Hafiz Suip
Kedua-dua keluarga bersetuju untuk mengikat tali pertunangan selama setahun namun tidak menetapkan tarikh untuk majlis perkahwinan mereka kelak. - Foto Project Two-Pi
Pada 21 Disember tahun lalu, Hafiz telah menghantar rombongan merisik ke rumah pihak rumah wanita di Kuching, Sarawak.

Menarik di majlis pertunangan yang diadakan semalam, Hafiz memilih tarikh ulangtahun harijadinya yang ke-25. Antara rakan yang turut sama hadir di majlis pertunangan Hafiz ialah Hazama juga Aril.
 
Sumber: Astro Awani

Monday, January 5, 2015

Romie menangi hati keluarga saya - Hanez Suraya

Romie menangi hati keluarga saya - Hanez Suraya

KUALA LUMPUR: Kalau sudah jodoh, pasti tak ke mana. Sensasi serta kontroversi hubungan Hanez Suraya dan lelaki istimewa dalam hidupnya, Romie Razin Adilha nampaknya akan menemui penamat yang indah.

Selepas melalui kegetiran hidup termasuk kerjaya seni tahun lalu dek dituduh sebagai perampas serta perosak rumah tangga orang, kebahagiaan ternyata bakal menyebelahi hidupnya tak lama lagi.

Kes perceraian Romie dan bekas isterinya Nur Liyana Manan juga sudah bernoktah. Pasangan itu disahkan bercerai pada 9 Disember lalu di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam. Romie yang juga seorang ahli perniagaan sudah bergelar duda.

Malam Sabtu lalu sekitar jam 9 malam, Hanez dan Romie diraikan dalam satu majlis pertunangan. Majlis diadakan di kediaman keluarga Hanez di Seremban asalnya dirancang secara tertutup tetapi turut dihadiri rakan media termasuk dari Hlive! dan Melodi.

Kata Hanez, dia dan Romie memberi tempoh enam bulan untuk bertunang dan disatukan dalam tahun ini juga.

"Alhamdulillah majlis berjalan dengan lancar dan seadanya malam Sabtu lalu. Ia dibuat untuk keluarga terdekat serta teman rapat saja secara tertutup. Asalnya hanya mahu mengundang 150 orang saja dan dibuat penambahan menjadi 200 orang pula.

"Pada saat akhir, ia bertambah sekitar anggaran 400 orang. Mujurlah makanan yang dihidangkan cukup untuk mereka yang hadir. Mulanya memang nak buat lepas waktu Maghrib, tapi pihak lelaki mahu selepas Isyak," katanya.

Mengenai undangan media, Hanez berkata ia daripada pihak lelaki.

Dalam pada itu, kisah hubungan Hanez yang bernoktah dengan Romie beberapa bulan lalu bukan sandiwara atau rekaan. Romie sendiri mengakui hubungan mereka berakhir seperti yang dipaparkan di dalam Melodi di TV3.


"Memang kami putus ketika itu. Cuma dalam tempoh berpisah, Romie bersungguh sungguh mahu memenangi hati saya semula. Dia datang pujuk. Paling penting, dia memenangi hati keluarga saya," katanya.






Bagaimana pula dengan kisah lelaki bergelar juruterbang yang dikaitkan sebagai pengganti Romie. Bahkan ada yang melihat lelaki berkenaan sekadar kambing hitam mengaburi kisahnya dengan Romie.

"Lelaki itu kawan baik saya. Jangan babitkan dia dalam semua ini. Jangan salah faham hanya kerana dia rapat dengan saya," katanya.

Apa harapan Hanez untuk semua ini?

"Saya mengharapkan penamat yang baik untuk ini. Saya anak sulung daripada tiga beradik dan keluarga juga mahukan yang terbaik untuk saya. Saya tak mengharapkan majlis yang berskala besar, cukup mereka yang datang nanti akan tumpang gembira," katanya.

Sumber: Bharian

Hanez Suraya dan Romie Bertunang


Pelakon kontroversi, Hanez Suraya Abdul Aziz, 31, kini bergelar tunang kepada kekasih hatinya Romie Razin Adilha, 35.

Hanez dan Romie melangsungkan pertunangan selepas Isyak malam semalam (Sabtu) di sebuah majlis yang diadakan secara tertutup di kediaman keluarga Hanez di Seremban dan dihadiri keluarga terdekat masing masing.

Perkara tersebut disahkan sendiri oleh abang kepada pihak lelaki, Romie Asmawi Abd. Jais.

Berita pertunangan merpati dua sejoli ini akhirnya menutup spekulasi hubungan cinta mereka telah terputus.


Kisah cinta Hanez menjadi perhatian ramai selepas status teman lelakinya (kini tunang) masih suami orang terbongkar. Hanez juga telah dikatakan sebagai perosak rumah tangga Romie dan bekas isterinya yang dikatakan sedang berantakan waktu itu.

Sumber: Astro Awani

Tuesday, October 7, 2014

Nubhan pilih bakal doktor gigi sebagai bakal isteri


NUBHAN dan Afifah sudah enam tahun menjalinkan hubungan cinta. - Foto BH Online
KUALA LUMPUR: Bintang Akademi Fantasia musim keenam, Nubhan, 28, selamat melangsungkan pertunangan 11 pagi tadi dengan Afifah Hidayah Ahmad Tawfek, 25.
Majlis diadakan di kediaman keluarga tunangnya di Seremban 2. Pasangan ini menjalinkan hubungan sejak enam tahun lalu.
Perkenalan mereka berputik di Pulau Pangkor ketika Nubhan menjalani penggambaran manakala tunangnya pula bercuti di situ.
"Kami rancang bernikah dalam tempoh setahun lagi. Ikutkan lagi cepat lagi elok tapi dalam masa yang sama dia (tunang) perlu melunaskan baki pengajian setahun lagi di Mesir.
"Dia bakal doktor gigi dan sepanjang tempoh kenal kami memang melalui cinta jarak jauh," kata Nubhan yang kini sedang mempromosikan single terbaru ciptaan Ajai berjudul Kisah Kasih.
Nubhan menjelaskan pada mulanya memang cukup perit bercinta jarak jauh.
Ia pengalaman yang cukup mencabar buat mereka.
"Saya boleh jadi separuh gila kerana cinta jarak jauh ini. Tapi Alhamdulillah ia semakin dipermudahkan. Selalunya menerusi panggilan video kami melepas rindu.
"Pada mulanya juga dia tak faham kerjaya seni saya. Ambil gambar dengan artis wanita pun dia pernah cemburu. Selalunya boleh jadi gaduh sebab perkara remeh.
"Tapi sekarang dia mula memahami. Selain itu dia cantik dan manja pada mata saya," kata Nubhan mengenai Afifah yang turut berasal dari Kuala Pilah sepertinya tetapi berbeza daerah.
Sumber: Bharian