news @kosmo
Maher Zain terus pikat peminat MAHER ZAIN dan Malaysia kini adalah satu ‘ikatan’ yang sinonim. Dalam tempoh enam bulan, Maher sudah dua kali berada di bumi Malaysia kerana sambutan yang cukup hangat di kalangan pencinta muzik ketuhanan yang semakin moden.
Penerimaan khalayak terhadap kacak penampilannya, merdu mendayu vokalnya memuji Allah yang dibalut dalam irama pop komersial menjadikan Maher satu fenomena luar biasa di Malaysia.
Justeru tidak hairan apabila Maher mampu memikat hati peminatnya dengan konsert dua hari berturut-turut yang diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor pada hujung minggu lalu, sekali gus mengumpul lebih 12,000 peminatnya untuk ‘bersatu’ memuji Allah S.W.T dalam konsert tersebut.
Berpeluang membuat liputan pada hari pertama konsert Maher Zain Live In Concert berlangsung, kemunculan penyanyi kelahiran Lebanon itu sememangnya ditunggu-tunggu para penonton yang menanti seawal 6 petang bagi menyaksikan sendiri artis pujaan mereka dengan lebih dekat.
Bahkan, persembahan Maher dianggap mempunyai kelas tersendiri kerana turut diiringi barisan pemuzik orkestra antarabangsa yang menyajikan alunan muzik mengasyikkan.
Fenomena Maher Zain seakan tidak terpadam dalam memori peminat di negara ini malah aura Maher dibuktikan melalui kehadiran penonton daripada pelbagai peringkat umur walaupun harga tiket sekitar RM53 hingga RM297. more