Showing posts with label Bunga Citra Lastari. Show all posts
Showing posts with label Bunga Citra Lastari. Show all posts

Wednesday, April 30, 2014

Istana Budaya Jawab Tuduhan Bunga Citra Lestari

Tuntutan bayaran yang tinggi menjadi punca penganjur konsert Stanza Cinta iaitu Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Istana Budaya tidak dapat memberi ruang kepada penyanyi dari Indonesia iaitu Bunga Citra Lestari untuk menyertai persembahan itu.

Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani berkata, penganjur dan juga artis berkenaan juga tidak pernah menandatangani sebarang kontrak sebagai tanda persetujuan untuk membawa artis berkenaan ke negara ini.

"Kami menghubungi Bunga untuk bertanya tentang bayaran dan harga dia agak tinggi, sementara pihak UUM tidak mampu untuk membayarnya dengan harga itu.

"Tidak lama selepas itu kami terus menghubunginya semula dan membatalkan hasrat tersebut. Tiada sebarang kontrak dibuat antara kedua-dua pihak," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Rabu.

Mohamed Juhari berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Bunga Citra Lestari yang melahirkan rasa terkilan tidak dapat menjayakan Konsert Stanza Cinta di Istana Budaya pada 4 dan 5 April lalu.


Bunga juga mendakwa dia telah menolak beberapa tawaran di Indonesia bagi menjayakan konsert tersebut.

Sementara itu, Mohamed Juhari berkata, konsert Stanza Cinta yang dianjurkan bukan sebuah persembahan kormersial seperti konsert Afgan, Marcell dan Dayang Nurfaizah sebaliknya sebuah konsert ulang tahun dianjurkan universiti.

"Ia sebuah konsert yang memperuntukan bajet rendah tetapi saya yang memberi idea untuk membawa Bunga dalam konsert itu kerana dia ada nilai kormersial.

"Namun apabila harga tinggi, ia tidak mencapai persetujuan pihak universiti dan akhirnya kami menggantikan dia dengan penyanyi tempatan sahaja," katanya.

Konsert Stanza Cinta yang berlangsung pada 4 dan 5 April lalu itu dijayakan oleh Jaclyn Victor, Amy Search, Noh Salleh, Adira dan Haziq.

Dalam pada itu, Mohamed Johari berkata, belum ada sebarang perancangan untuk membawa artis Indonesia untuk beraksi di pentas Istana Budaya buat masa ini.

"Kutipan sangat perlahan untuk konsert. Konsert Glenn Fredly yang sepatutnya berlangsung malam ini (Rabu) terpaksa dibatalkan kerana kurang sambutan," ujarnya.

Sumber: Mstar

Friday, February 21, 2014

Istana Budaya Pujuk Bunga Citra Lastari ?

Pihak Istana Budaya akan memujuk bintang Indonesia iaitu Bunga Citra Lastari untuk menjayakan Konsert Stanza Cinta yang akan berlangsung di pusat kebudayaan itu pada 4 hingga 5 April depan. Ketua Pengarahnya Datuk Mohamed Juhari Shaarani berkata, langkah itu terpaksa dibuat kerana penyanyi itu yang pada asalnya bersetuju menjayakan konsert berkenaan menarik diri kerana sebab-sebab tertentu.

"Saya akan cuba berbincang dengan beberapa pihak terutamanya penganjur iaitu Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk berunding semula tentang tawaran dan bayaran kepada penyanyi tersebut agar dia dapat datang menjayakan konsert ini.

"Kemunculan Bunga dilihat mampu menarik penonton dan memberikan kelainan kepada konsert tersebut berikutan nilai eksklusifnya yang jarang membuat persembahan nyanyian di negara ini," katanya pada sidang media Konsert Stanza Cinta, di Istana Budaya, di sini, Khamis.

Mohamed Juhari berkata demikian ketika ditanya tentang penarikan diri penyanyi Bunga Citra Lestari menyertai konsert berkenaan.

Turut hadir ialah penyanyi Jaclyn Victor, Timbalan Naib Canselor, Prof. Madya Dr. Abdul Malek Abdul Karim dan Konduktor Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK), Mustafa Fuzer.

Selain Jaclyn Victor, konsert itu turut menampilkan Adira, Noh (Hujan) dan Haziq bertemakan ‘meraikan cinta’.

Sementara itu katanya, konsert berkenaan juga akan diiringi oleh Orkestra Simfoni Kebangsaan.

"Ini merupakan kali pertama kami mengadakan konsert di pentas Istana Budaya dengan kerjasama UUM kerana sebelum ini ia di adakan di universiti tersebut di Kedah.

Sementara itu, ditanya tentang penglibatan artis luar di pentas berprestij Istana Budaya, jelasnya, ia bagi meraikan sambutan Tahun Melawat Malaysia 2014.

Kata Mohamed Juhari, pihaknya membuka lebih banyak peluang kepada artis luar negara untuk mengadakan konsert di Istana Budaya dalam tempoh dua tahun ini.

Konsert Stanza Cinta akan diadakan pada pukul 8.30 malam di Panggung Sari, Istana Budaya.

Source: Mstar