Showing posts with label che Ta. Show all posts
Showing posts with label che Ta. Show all posts

Friday, March 6, 2015

Che Ta Selamat Pulang Dari Tanah Suci, Kini Berhijab


Pelakon cantik Rozita Che Wan kini tampil dengan imej baru selepas pulang dari mengerjakan umrah  bersama suami, Zain Saidin pada Khamis.


Pengurus Rozita, Afeeq Abdul Wahab turut mengesahkan perkara tersebut menerusi laman sosial Instagram dan Facebooknya.

Afeeq ketika dihubungi Astro Gempak memberitahu Rozita atau lebih mesra dengan panggilan Che Ta akan kekal dengan imej bertudung.

“Berkat doa para peminat dan suami, Che Ta kini bertudung dan akan terus kekal dengan imej tersebut. Ahamdulillah, sebelum ini dia memang ada berniat untuk memakai tudung.

“Saya tidak terkejut dengan keputusan yang dibuat Che Ta kerana sebelum ini dia pernah ‘hint’ akan bertudung, cuma tidak sangka ia dilaksanakan sebaik sahaja dia selesai mengerjakan umrah,” katanya.

Tambah Afeeq lagi, setakat ini pihak endorsement menerima perubahan Che Ta dengan baik dan tidak mempunyai masalah dengan imej baru pengacara Primadona itu.

Che Ta dan suami berangkat menunaikan umrah pada minggu lepas dan selamat tiba dari tanah suci Mekah pada tengahari tadi.

Terdahulu Che Ta pernah memberitahu kepada media akan menunaikan umrah bersama suami sebagai memenuhi nazarnya.

Pelakon dan pengacara cantik itu juga pernah berhajat menunaikan umrah sekiranya dia mengandung selepas mendirikan rumah tangga dengan Zain pada penghujung 2013.

Sumber: AstroGempak

Tuesday, October 7, 2014

"Anak Saya Tak Pernah Ke Kelab Malam" - Rozita Che Wan

Rozita bersama anaknya Ammar Effendy.

PETALING JAYA: Rozita Che Wan kecewa apabila dipersalahkan dan dituduh tidak pandai menjaga anak gara-gara kenyataan suaminya Zain Saidin yang mengizinkan anak pelakon wanita itu iaitu Ammar Effendy, 18, keluar ke kelab malam di sebuah laman blog.
Rozita atau lebih dikenali sebagai Che Ta, 41, berkata, kenyataan tersebut telah dimanipulasi sehingga memperlihatkan dirinya sebagai gagal memberi didikan sempurna kepada anak-anaknya.
"Saya marah apabila orang menuduh dan salahkan saya tidak pandai jaga anak, padahal mereka tidak tahu susah senang saya sebagai ibu tunggal membesarkan anak-anak sendiri.

"Saya sudah beri didikan yang sebaik mungkin hingga dia berjaya mendapat keputusan baik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan menjadi pelajar terbaik di sekolah," ujarnya kepada mStar Online, di sini, Isnin.

Rozita berkata demikian ketika diminta mengulas luahan rasa kecewanya yang dimuat naik di laman sosial Instagram pada Ahad lalu tentang tanggapan segelintir masyarakat terhadapnya.

Dia juga kecewa apabila ada pihak membandingkan anaknya dengan seorang remaja Ahmad Ammar yang mati syahid di Turki akhir tahun lalu.

Tegas Rozita, sebagai ibu kandung sudah tentu dia lebih mengetahui apa yang dilakukan oleh anak-anaknya berbanding suaminya  yang juga bapa tiri kepada anak lelakinya itu.

"Mereka sepatutnya tanya saya kerana saya ibu dia jadi saya lebih tahu kemana anak-anak saya pergi. Namun itu tidak bermakna dia tidak mengambil tahu dan peduli tentang mereka," ujarnya.

Sementara itu, mengulas tentang isu membenarkan anak ke kelab malam, Rozita sekali lagi menyangkal dakwaan tersebut, malah anak sulungnya itu tidak pernah pergi ke pusat-pusat hiburan tersebut.

"Anak saya Ammar Effendy tidak pernah ke kelab malam, tentang keizinan itu memang dia sentiasa meminta izin untuk keluar termasuk pada waktu malam, itu pun kalau dia ingin lepak dan jumpa kawan-kawannya sahaja.

"Cuma selepas dia minta izin saya sudah tidak boleh pantau lagi dia pergi mana, namun saya harap kebebasan yang saya beri tidak disalahgunakan," ujarnya.
Selain Ammar Effendy, Rozita turut mempunyai  seorang lagi anak lelaki hasil perkahwinannya terdahulu iaitu Aniq Ezzra, 16.
Source: Mstar

Friday, August 22, 2014

Setahun Tempoh Pantang Bersalin Che Ta Agar Kekal Cantik


Rozita dan suaminya Zain Saidin tidak sabar menanti kelahiran bayi mereka. Foto SHAARI CHEMAT / THE STAR

PETALING JAYA: Pelakon Rozita Che Wan akan menjaga pantang bersalin dan hanya memilih makanan tertentu selama setahun untuk mengekalkan kecantikan tubuh badannya.

Rozita atau lebih mesra dengan panggilan Che Ta, 41, berkata, dia akan mengelak mengambil makanan tidak berkhasiat, sejuk dan berangin yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada diri di usia tua.

"Saya sangat titik beratkan tentang pantang selepas bersalin termasuklah tidak keluar rumah 45 hari dan pantang makan untuk jaga badan.

"Biasanya saya akan berpantang dengan hanya memilih makanan tertentu dalam masa setahun sehingga kadang-kala menyebabkan saya hilang selera seperti tidak lagi gemarkan sayur sawi," ujarnya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka anjuran syarikat Laugh Out Loud milik penyanyi Dafi dan pengurus artis, Afeeq di Binjai 8, Premium Soho di sini Rabu lalu.

Majlis turut dihadiri suami Che Ta iaitu Zain Saidin, Sasha Saidin, Zaina Zain, Sabhi Sadhi, Sherry Ibrahim, Fazli Zainal dan Marsha Milan.

Rozita yang kini hamil tujuh bulan juga mengakui kecewa terhadap segelintir wanita yang mengabaikan amalan berpantang kerana mereka menganggap amalan itu sesuatu yang tidak penting.

Katanya, perkara tersebut merupakan amalan tradisional yang sememangnya berkesan untuk kebaikan kesihatan serta telah diamalkan nenek moyang sejak zaman dahulu.

"Saya kesal melihat wanita yang tidak jaga pantang, walaupun mereka kata mereka kuat untuk keluar atau melakukan aktiviti ketika dalam tempoh berpantang, namun kesan yang akan mereka dapat ketika hari tua.

"Saya lihat emak saya masih kuat walaupun usia dia sudah lanjut. Ini adalah kerana amalan dia yang sangat menjaga pantang ketika bersalin dahulu.

Tambah Rozita, selepas bersalin nanti dia akan dijaga oleh ibunya, Zabedah Saad yang kini berusia 62 tahun.

Dalam pada itu, Rozita mengakui sudah mempunyai nama untuk anak perempuannya dan akan didedahkan pada majlis cukur jambul iaitu tujuh hari selepas kelahiran bayi tersebut.

Bagaimanapun, Rozita berkata, ia akan menjadi hak siaran eksklusif stesen televisyen Astro terlebih dahulu.

Sementara itu, Rozita berkata, suaminya pelakon Zain Saidin merupakan orang yang paling teruja untuk menanti kelahiran bayi itu.

Katanya, Zain tidak membenarkan dia untuk pergi membuat pemeriksaan kandungan itu sendirian tanpa kehadirannya.

"Dia paling teruja, kalau nak pergi check-up, tidak boleh pergi tanpa dia. Sampaikan jadual check-up saya terpaksa ditukar mengikut jadual penggambaran dia.

"Kalau dalam bilik check-up, dia paling sibuk bertanya macam-macam pada doktor dan ambil banyak gambar bayi untuk simpanannya,” katanya.

Selain bayi yang bakal lahir, Che Ta turut mempunyai dua orang anak lelaki hasil perkahwinanya terdahulu iaitu Ammar Effendy, 18, dan Aniq Ezzra, 16.
Sumber: Mstar

Sunday, March 23, 2014

Anak Sulung Che Ta Catat Keputusan Cemerlang SPM


Anak sulung kepada pelakon jelita, Rozita Che Wa, Ammar Effendy mencatatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan semalam.

Tidak dapat dipastikan jumlah mata pelajaran yang diambil Ammar ketika menuntut di Kolej Yayasan Saad, namun menerusi foto yang dikongsi oleh ibunya menerusi akaun Instagram, Ammar berjaya memperolehi lapan A dalam subjek yang diambil.


Tahniah diucapkan kepada Ammar, semoga kejayaan ini akan menjadi pendorong untuk Ammar menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Sumber: mediahiburan