Showing posts with label awie. Show all posts
Showing posts with label awie. Show all posts

Friday, January 30, 2015

Rozana Terbuka Hati Mahu Berdamai Dengan Awie

 

PETALING JAYA: Setelah lebih setengah tahun kemelut rumah tangga penyanyi Awie dan Rozana Misbun tercetus, isteri penyanyi itu akhirnya terbuka hati dan bersedia untuk berbincang dalam menyelesaikan masalah mereka.

Rozana, 36, berkata, demi kebahagiaan tiga orang anak yang sedang membesar, adalah wajar mereka suami-isteir mencari penyelesaian supaya masalah rumah tangga dapat diselesaikan dengan baik.

“Kalau betul saya gagal memberikan kebahagiaan yang Awie cari selama ni, lepaskanlah saya dengan cara baik. Tapi demi kebajikan anak-anak, saya bersedia untuk berbaik dengannya dan duduk berbincang. Kita jadi kawan.

“Kalau benar Awie dah hilang rasa hormat pada saya sebagai manusia dan isteri, hormatilah saya sebagai ibu yang bersengkang nyawa untuk melahirkan anak-anaknya. Itu saja yang saya minta,” ujar Rozana kepada mStar Online dalam satu kiriman e-mel pada Khamis.

Rozana berkata demikian ketika diminta komen selepas Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur pada Selasa lalu memutuskan hak penjagaan sementara tiga anak mereka diserahkan kepada Rozana.

Berikutan itu Awie atau Ahamd Azhar Othman, 46, yang sebelum ini memperoleh hak berkenaan terpaksa menyerahkan anak-anak mereka kepada isterinya itu.

Awie  selaku responden diberikan hak melawat di kediaman anak-anak tersebut selama dua jam sebanyak dua kali sebulan iaitu pada hari Sabtu dan Ahad pada minggu pertama dan ketiga dengan memaklumkan kepada Rozana.

Anak-anak berkeanan ialah Putra Ahmad Merrah, 8, Putra Ahmad Rezzki, 7, dan Puteri Qasseh Antasha, 5.

Awie turut mempunyai dua lagi anak hasil perkahwinan terdahulunya dengan penyanyi Arni Nazira iaitu Puteri Aleeya Antasha, 15, dan Puteri Aleefa Antasha, 13.

Awie juga menghadapi kes mendatangkan kecederaan terhadap Rozana yang dibicarakan di Mahkamah Majisteret, Ampang Selangor.


Rozana berkata, air mukanya jatuh selepas diaibkan suami sendiri.

Dalam pada itu kata Rozana, mungkin ada pihak menganggap dia kejam kerana perintah itu secara tidak langsung mengehadkan pertemuan Awie dan anak-anak tetapi sekurang-kuramna Awie akan dapat merasai bagaimanakah  deritanya seseorang ibu apabila tidak berjumpa anak-anaknya.

Ini kerana sewaktu Awie memperoleh perintah tersebut secara ex-parte sebelum ini, Rozana terpaksa menghormati injunksi berkenaan selama tujuh bulan apabila tidak dapat bertemu anak-anaknya.

“Kalau Saya boleh menerima dengan reda dan patuh kepada perintah injunksi selama 7 bulan itu, saya harap Awie juga boleh menerimanya dengan lapang dada. Sekurang-kurangnya Awie dapat merasai bagaimana deritanya saya dalam tempoh terpisah dengan anak-anak,” ujarnya.

Dalam pada itu mStar Online cuba mendapatkan penjelasan Rozana mengenai beberapa perkara penting yang pernah dibangkitkan Awie sebelum ini selain perancangan terhadap anak-anaknya selepas memperoleh hak penjagaan sementara itu.

Baca penjelasan Rozana:

Boleh Rozana komen mengenai kemelut dan rintangan terhadap kisah rumah tangga Rozana dengan Awie?

Setelah pelbagai dugaan dan rintangan yang saya hadapi sejak tujuh bulan kebelakangan ini, Alhamdulillah sedikit demi sedikit saya bina kekuatan diri. Saya tak mahu berdendam sebab saya tahu kalau saya menyimpan perasaan yang macam tu, saya sendiri yang makan hati dan merana sendiri nanti.

Jadi saya belajar untuk move on  dan berkat sokongan keluarga, Insya-Allah saya akan teruskan hidup dengan semangat baru. Siapalah saya untuk bagi nasihat pada Awie?

Tapi dalam klausa (4) perintah makhamah, ada ditulis secara terang dan nyata bahawa Awie ditegah sama sekali dari mengaibkan saya melalui media elektronik, Internet dan cetak. Kalau dia berdegil juga, maknanya dia menghina makhamah dan biarlah mahkamah saja yang tentukan hukumannya.

Pelbagai tuduhan Awie lemparkam melalui peguamnya di mahkamah seblum ini termasuk tuduhan Rozana mengamalkan perkara ditegah agama Islam. Apakah yang dapat Rozana simpulkan?

Siapa yang tak malu apabila suami sendiri tuduh saya macam-macam sedangkan saya ni isteri dia? Memang jatuh air muka saya dan ada masa-masanya saya malu sangat untuk berdepan dengan masyarakat.

Saya tahu ramai yang tertanya-tanya kenapa saya selalu pakai kaca mata hitam apabila hadir ke makhamah. Tapi itulah saja caranya untuk saya 'sembunyikan' diri saya yang malu untuk berdepan dengan wartawan dan juga mata yang memandang.

Kalau boleh bila saya keluar rumah, saya tak mahu orang ramai kenal saya sebab saya sedar, banyak berita yang negatif berbanding positif tentang saya yang diperkatakan orang.

Tapi saya kena tabah. Takkan nak berkurung saja dalam rumah?

Apa penjelasan Rozana apabila Awie pernah mendakwa Rozana curang dengan lelaki lain?

Macam manalah saya nak curang? Saya ni, sepanjang sembilan tahun berkahwin, hidup mati saya hanya untuk Awie dan keluarga. Sejak Putra Ahmad Merrah, Putra Ahmad Rezzki dan Putri Qasseh Antasha mula bersekolah, celik mata aje, sayalah yang mandikan, sediakan sarapan dan siapkan pakaian mereka semua sebelum menghantar mereka sendiri ke sekolah.

Tengah hari pulak saya sibuk di dapur untuk siapkan makan tengah hari untuk keluarga sebelum sebelah petangnya pula, jemput anak-anak di sekolah. Sebelah malamnya pula, saya pastikan mereka mengaji dan 'monitor' buat kerja sekolah.

Pukul 9 malam, semua dah kena tidur sebab saya tak mahu mereka liat bangun pagi esoknya untuk ke sekolah.

Saya tak tahu ruang manakah untuk saya berpeleseran dengan lelaki lain? Lagipun, dengan imej Awie sebagai “ayahanda”, ada ke lelaki yang berani nak kacau isterinya ini?

Mestilah ada ‘mata-matanya' akan segera memberitahu “ayahanda” Awie kalau betul mereka nampak saya berpoya-poya di luar.

Tuduhan Rozana mengabaikan anak?

Macam mana saya ni boleh dituduh tak jaga anak? Sedangkan dalam seminggu, ada masa-masanya, beberapa hari saja Awie di rumah terutama sekali kalau dia terlibat dengan penggambaran filem atau konsert di luar KL (Kuala Lumpur). Tapi saya faham kesibukannya itu dan tak pernah mengeluh.

Apa perancagan Rozana selepas mendapat hak penjagaan sementara anak ini?

Saya nekad untuk bawa anak-anak tinggal dengan Saya. Anak-anak yang sedang membesar perlukan disiplin. Masa saya jumpa anak sulung saya, Merrah di sekolah hari tu, dia nampak macam tak cukup tidur. Saya rasa dia orang bebas berjaga sampai tengah malam main video game.

Dengan saya dulu, mereka tak boleh suka-suka hati buat macam tu. Saya memang pantau aktiviti anak-anak.

Sumber: Mstar

Saturday, January 17, 2015

Awie Perlu Bayar Kos RM5,000, Hak Jagaan Anak Batal


KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada Rabu membatalkan hak penjagaan anak secara ex-parte (sebelah pihak) yang diperoleh vokalis kumpulan Wings iaitu Awie.

Hakim Syarie, Mohd Amran Mohd Zain memutuskan keputusan tersebut selepas membenarkan permohonan Rozana Misbun, 37, untuk mengenepikan perintah mahkamah terhadap Awie berhubung hak penjagaan sementara yang diperolehnya pada 21 Julai tahun lalu.

Mohd Amran membuat keputusan itu selepas mendapati Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 47, menggunakan alamat bermastautin di Ukay Perdana, Ampang, Selangor bagi memfailkan tuntutan di mahkamah syariah Kuala Lumpur pada Julai tahun lalu.

Penyanyi itu sepatutnya membuat permohonan di mahkamah dalam negeri Selangor berdasarkan kepada alamat tempat tinggal yang digunakannya.

Selain itu, isu lain mengenai pertikaian dokumen nikah pasangan itu yang didapati palsu turut menjadi asas kepada mahkamah membuat keputusan berkenaan.

Mahkamah turut mengenakan kos sebanyak RM5,000 kepada Awie.

[INSPEKTOR TERIMA BARANG KES PUKUL AWIE DALAM KEADAAN DIBUKA]

Dalam pada itu, Mohd Amran berkata semua permohonan yang dikemukakan termasuk hak jagaan anak secara kekal oleh Awie turut terbatal.

Keputusan itu dibaca dihadapan pasangan berkenaan yang turut ditemani oleh peguam masing-masing.

Sementara itu, Awie ketika ditemui diluar mahkamah berkata, dia menerima keputusan tersebut dengan hati terbuka dan akan berbincang dengan peguamnya terlebih dahulu untuk tindakan selanjutnya selepas ini.

Manakala Rozana pula bersyukur dengan keputusan itu dan berharap dapat dia dapat disatukan dengan anak-anaknya selepas ini.

Terdahulu mahkamah yang sama pada Selasa diberitahu Rozana melakukan amalan khurafat sepanjang sembilan tahun perkahwinan mereka.

Perkara itu didedahkan peguam Awie iaitu Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain yang mengatakan Awie menemui barang-barang seperti darah, rambut dan tulang yang diletakkan di dalam botol kecil selain patung kemaluan lelaki diperbuat daripada emas tulen dan patung logam Buddha milik Rozana.

Pada 6 Januari lalu pula, bekas Penolong Pengarah Bahagian Undang-Undang Keluarga Islam, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP), Yusoff Abu Bakar mendedahkan kepada mahkamah bahawa surat nikah milik penyanyi Awie adalah dokumen palsu.

Awie pada 21 Julai tahun berjaya mendapat hak penjagaan sementara ke atas tiga orang anaknya bersama Rozana iaitu Putra Ahmad Merrah, 8, Putra Ahmad Rezzki, 7, dan Puteri Qasseh Antasha, 5.

Awie dan Rozana bernikah secara rahsia di Selatan Thailand pada 20 Jun 2005.

Awie turut mempunyai dua lagi anak hasil perkahwinan terdahulunya dengan penyanyi Arni Nazira iaitu Puteri Aleeya Antasha, 15, dan Puteri Aleefa Antasha, 13.

Sumber: Mstar

Thursday, January 15, 2015

Tindakan Awie Tuduh Rozana Lakukan Perbuatan Khurafat Makan Diri


KUALA LUMPUR: Rozana Misbun berkata, tindakan Awie menuduhnya melakukan amalan khurafat dan syirik yang bertentangan dengan perintah Allah adalah perbuatan terdesak bertujuan mengaibkan isteri sendiri.

Rozana, 37, berkata, tuduhan Awie melalui peguamnya di mahkamah dilakukan tanpa menyertakan bukti yang akhirnya memakan diri sendiri.

"Kenapa hanya selepas saya keluar dari rumah kami baru dia nak kata terjumpa macam-macam? Kenapa selama ini dia tidak dedahkan perkara itu?
"Bagi saya tindakan dia memburuk-burukkan saya dengan cara itu adalah tindakan terdesak," katanya kepada mStar Online ketika ditemui di luar mahkamah Tinggi Syariah di sini Rabu.


Gambar kenangan Awie, Rozana dan anak-anak mereka.

Terdahulu Rozana berjaya mengenepikan perintah sebelah pihak (ex-parte) hak jagaan sementara terhadap tiga anak mereka yang sebelum itu diserahkan kepada Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 47.

Tiga anak hasil perkahwinan mereka itu ialah Putra Ahmad Merrah, 8, Putra Ahmad Rezzki, 7, dan Puteri Qasseh Antasha, 5.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Syarie, Mohd Amran Mohd Zain di Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada Rabu.

Awie turut diperintahkan membayar kos sebanyak RM5,000

Pada sesi penghujahan yang berlangsung pada Selasa lalu, peguam syarie yang mewakili Awie, Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain memberitahu mahkamah, anak guamnya mempunyai bukti kukuh bahawa Rozana seorang pengamal perkara syirik, khurafat dan tahyul dengan penemuan beberapa barang di rumah kelamin mereka di Ukay Bestari, Ukay Perdana Ampang dekat sini.

Barang-barang berkenaan seperti darah, rambut dan tulang yang diletakkan di dalam botol kecil selain patung kemaluan lelaki diperbuat daripada emas tulen dan patung logam Buddha.

Dalam pada itu, Rozana berkata, dia tidak terkesan dengan tuduhan tidak berasas itu itu kerana akhirnya kebenaran akan menceritakan segala-galanya.

Malah kata Rozana, keputusan yang dibuat mahkamah terhadap kes berkenaan turut membuktikan alasan dikemukakan oleh Awie tidak munasabah.

"Saya tidak hidup dipuji mahupun mati kerana dikeji jadi biarlah apa juga yang ingin dikatakannya tentang saya.

"Sejak awal lagi dia memang berniat untuk mengaibkan saya, jadi biarkanlah," jelasnya.

Awie ketika hadir ke Mahkamah Majistret Ampang pada Rabu bagi perbicaraan kes pukulnya terhadap Rozana. Foto: Utusan Malaysia.

Sementara itu, Rozana berkata, dengan keputusan mahkamah tersebut dia akan berusaha untuk berjumpa anak-anaknya selepas ini.

Dia juga akan berbincang dengan peguamnya untuk tindakan lanjut  berhubung isu status sijil perkahwinan dan anak-anaknya.

"Sebelum ini saya tidak berjumpa anak-anak kerana lawatan perlu dilakukan di rumahnya selain talian telefon anak telah dimansuhkan.

"Dengan keputusan ini saya harap tiada lagi alasan untuk saya bertemu mereka dengan cara yang saya tentukan," ujarnya.

Awie dan Rozana, 36, dilaporkan berkahwin secara rahsia di Selatan Thailand pada 2005.

Awie sebelum ini pernah berkahwin dengan penyanyi Arni Nazira pada Disember 1998 sebelum bercerai pada Oktober 2006.

Hasil perkahwinan pertamanya, Awie mendapat dua orang anak iaitu Puteri Aleeya Antasha, 15, dan Puteri Aleefa Antasha, 13.
 
Sumber: Mstar

Wednesday, September 17, 2014

Peguam Awie Pertikai Kelewatan Rozana Hantar Afidavit

Awie (kiri) dan siterinya, Rozana Misbun

KUALA LUMPUR: Peguam Syarie kepada vokalis kumpulan Wings, Awie mempertikaikan tindakan isteri penyanyi itu, Rozana Misbun ekoran kelewatan menghantar afidavit pembelaan untuk mengetepikan perintah injunksi (tegahan) secara ex-parte (sebelah pihak) yang dibenarkan mahkamah terhadap Awie sebelum ini terhadap tiga anak mereka.

Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain dalam hujahannya berkata, pihak Rozana selaku responden kes berkenaan gagal menyerahkan jawapan berkenaan dalam masa 14 hari seperti mana diperintahkan mahkamah pada 21 Julai lalu.

Jelas Mohd Zaidi, Rozana menerusi peguamnya Majdah Muda hanya memfailkan sehari selepas tempoh itu tamat dan ia jelas melanggar perintah yang dikeluarkan.

Hujahan kes berkenaan didengar dihadapan Hakim Syarie, Mohd Amran Mat Zain di Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada Rabu.

Bagaimapun, Majdah dalam hujahannya turut mempertikaikan tentang penyerahan perintah berkenaan yang dibuat oleh pihak pemohon pada 24 Julai sekitar pukul 8 malam.

Majdah dalam hujahan balasannya berkata, sesuatu perintah yang diserahkan selepas pukul 4 petang dan diluar waktu pejabat tidak dikira sebagai tempoh itu bermula pada hari berikutnya.

Mohd Amran bagaimanapun menetapkan Khamis (esok) untuk membuat keputusan berhubung kes berkenaan.

Awie pada 22 Julai lalu berjaya mendapat hak penjagaan sementara ke atas tiga anak hasil perkahwinan mereka iaitu iaitu Putra Ahmad Merrah, 7, Putra Ahmad Rezzki, 6, dan Puteri Qasseh Antasha, 4.

Awie turut mempunyai dua lagi anak hasil perkahwinan terdahulunya dengan Arni iaitu Puteri Aleeya Antasha, 14, dan Puteri Aleefa Antasha, 12.

Terdahulu Awie dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang pada 3 Julai lalu atas tuduhan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap isterinya di kediaman mereka di Ukay Bistari, Ukay Perdana, Hulu Kelang pada 2 Jun lalu.

Awie bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut yang dibacakan di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan.
Source: Mstar

Saturday, July 5, 2014

Awie Mengaku Tidak Bersalah Belasah Isteri


AMPANG: Vokalis kumpulan Wings iaitu Awie mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas tuduhan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap isterinya, Rozana Misbun, 36, pada 2 Jun lalu.
Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 46, minta dibicarakan.

Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman menetapkan 11 Ogos depan untuk sebutan semula.

Mahkamah turut mengarahkan Awie membayar ikan jamin RM9,000 dengan dua orang penjamin.
Awie diwakili dua peguam iaitu Hazman Harun dan Aimizaizul Amran.

Manakala pertuduhan dibuat oleh Timbalan Pendakwa Raya, Suhaimi Ibrahim.

Mengikut pertuduhan kes, Awie didakwa sengaja mendatangkan kecederaan parah terhadap Rozana pada 2 Jun lalu kira-kira pukul 1.30 petang di alamat No. 9 Jalan UB 5B, Taman Ukay Bestari, Ukay Perdana Hulu Kelang di sini.

Imej Rozana yang dikatakan lebam akibat dipukul suami sendiri tersebar di Internet.
Jika sabit kesalahan penyanyi itu boleh dihukum di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaaan.
Perkarangan mahkamah dipenuhi dengan wartawan dan jurugambar seawal pukul 9 pagi dan penyanyi itu hanya muncul sejam kemudian.

Awie turut ditemani oleh anggota Wings seperti Joe dan Eddy serta beberapa rakannya yang lain.

Sementara itu, Awie ketika ditemui enggan mengulas lanjut mengenai kejadian dan menyerahkan kepada peguamnya.

Jelas Awie dia enggan memberikan kenyataan bercanggah yang akan menggangu kes berkenaan di mahkamah.

"Maafkan saya kerana tidak boleh mengulas mengenai kes ini kerana tidak mahu menggangu proses mahkamah dan menyerahkan semua kepada peguam saya," katanya.

Awie ketika hadir ke Mahkamah Majistret Ampang.

Tambah Awie, biarpun kes berkenaan mendapat perhatian ramai namun ia tidak menggangu perjalanan seninya.

Sebelum ini, gambar yang didakwa sebagai Rozana yang menunjukkan wanita tersebut lebam dan cedera di wajah akibat dipukul tersebar luas sehingga menyebabkan pihak polis memanggil Awie untuk membantu siasatan.

Awie dan Rozana dilaporkan berkahwin secara rahsia di Selatan Thailand pada 2005.

Terdahulu Awie pernah berkahwin dengan penyanyi Arni Nazira pada Disember 1998 sebelum bercerai pada Oktober 2006.
Sumber: Mstar

Thursday, March 6, 2014

Dato Yusof Haslam Berlinangan Air Mata Di Konsert 'Teaterikal Suara Kita'


Produser filem Datuk Yusof Haslam menitiskan air mata ketika menonton konsert Teaterikal Suara Kita yang berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya, di sini, malam Isnin lalu.

Yusof, 60, yang bertanggungjawab menjulang nama Awie, Erra Fazira dan Ziana Zain dalam industri filem tanah air pada era 90-an turut bangga dengan kejayaan ketiga-tiga artis berkenaan.

"Konsert ini mengembalikan nostalgia yang cukup bermakna sehingga ada beberapa babak yang buat saya menitiskan air mata.

"Saya terkenangkan perangai dan gelagat Awie, Erra dan Ziana sewaktu di zaman mula-mula saya mengarahkan mereka dalam filem-filem saya dahulu," katanya kepada mStar Online selepas menyaksikan persembahan pertama Konsert Teaterikal Suara Kita, di Panggung Sari, Istana Budaya, malam Isnin lalu.

Ketiga-tiga pelakon itu mencetuskan fenomena apabila muncul dalam filem Sembilu dan Sembilu 2 serta beberapa filem lain terbitan Skop Productions sehingga berjaya mencatatkan kutipan boxoffice.

Tambah Yusof, pada awalnya dia agak terkejut apabila diberitahu untuk mementaskan karya daripada filem-filem berkenaan.

Namun, setelah menonton hasil pementasan itu, dia percaya konsert tersebut bakal mendapat sambutan daripada peminat-peminat yang mengikuti perkembangan filem-filem arahannya itu.

"Sebenarnya saya terkejut apabila diberitahu bahawa mereka bertiga ingin pentaskan semula filem-filem saya.

"Saya macam tidak percaya mereka ingin bergabung semula. Tapi bila melihat persembahan mereka, saya percaya konsert ini akan mendapat kejayaan", ujarnya.

Sementara itu, Awie berkata, kejayaan pementasan tersebut menjadi bukti penyelesaian kemelut hubungan dingin antaranya dengan Erra Fazira.

Tuesday, March 4, 2014

Awie, Erra & Ziana Zain Terserlah Atas Satu Pentas

Konsert Teaterikal Suara Kita mengandingkan Awie, Erra Fazira dan Ziana Zain yang berlangsung pada malam Isnin di Panggung Sari, Istana Budaya membuktikan aura dan kehebatan ketiga-tiga artis ini masih sama seperti dahulu.

Biarpun usia ketiga-tiga artis ini masing-masing sudah mencecah 40-an, namun mereka mampu membawa penonton untuk kembali ke era 20 tahun lalu dengan memberikan persembahan bertenaga.

Konsert yang terbahagi kepada dua segmen itu dibuka dengan nyanyian lagu-lagu popular ketiga-tiga artis berkenaan antaranya Puncak Kasih, Yang Terindah Hanyalah Sementara dan Bara.

Segmen pertama itu membawa penonton mengimbau kenangan terhadap lagu-lagu popular sekitar tahun 1990-an.

Lebih menarik, seramai hampir 1,500 penonton turut bersama-sama mengiringi nyanyian ketiga-tiga artis ini yang membawakan 22 buah lagu popular mereka.

Bagi segmen kedua, persembahan lakonan dalam bentuk teater yang dipetik daripada lima buah filem lakonan mereka iaitu Sembilu, Sembilu 2, Tragedi Oktober, Maria Mariana dan Merah turut menarik perhatian.


Adegan-adegan romantik antara Awie dan Erra Fazira antara yang ditunggu-tunggu penonton. Awie turut menyelitkan adegan lucu yang mencuit hati.

Selain itu, Erma Fatima selaku pengarah persembahan berjaya menyusun babak-babak 'trademark' menggabungkan kelima-lima filem tersebut menjadi satu karya baharu tanpa mencacatkan jalan cerita asal.

Konsert tersebut turut menampilkan gitaris undangan iaitu Mira Fana dan Edrie Hashim bagi mengiringi nyanyian Awie bertajuk Bujang Senang.

Antara lagu yang dinyanyikan ialah Kekal, Bersama Akhirnya, Pasrah, Jendela, Anggapanmu, Nur Nilam Sari, Ku Cinta Padamu, Ratuku, Di Ambang Wati, Senja Nan Merah dan Tragedi Oktober.

Turut hadir pada malam tersebut Datuk Yusof Haslam dan isteri, Datin Patimah Ismail.

Konsert selama 2 jam 30 minit ini berlangsung dari 3 Mac sehingga 9 Mac ini di Panggung Sari, Istana Budaya di sini.


Bagi peminat yang ingin menyaksikan persembahan ini, tiket dijual dengan harga berharga RM79 sehingga RM499 boleh dibeli di kaunter Istana Budaya.

Sumber: Mstar

ERRA TIDAK PERNAH TERFIKIR AKAN KEMBALI JADI KEKASIH AWIE

Dua dekad dulu, Erra Fazira yang ketika itu mula meniti nama selepas dimahkotakan sebagai wanita tercantik negara dalam Miss World/Malaysia 1992 membuat debut di layar perak dengan membintangi Sembilu arahan Datuk Yusof Haslam.

Filem ini menjadi fenomena pada tahun 1994 menaikkan nama Erra yang ketika itu digandingkan bersama Awie sebagai pasangan kekasih. Daripada set filem, selebriti ini pernah menyulam cinta namun putus selepas beberapa tahun di mana masing-masing kini mempunyai keluarga sendiri.

Primadona filem negara itu telah ditemuramah Portal Murai secara eksklusif bagi mengetahui kisah penglibatannya dalam konsert Teaterikal Suara Kita yang akan mengimbau semula filem-filem di era 90’an lakonan Erra, Awie dan Ziana bermula 3 Mac ini di Istana Budaya.

Antaranya Erra memberitahu bahawa dia tidak pernah terfikir akan memainkan semula watak Wati, wanita yang dicintai Awie itu selepas 20 tahun.

Sumber: Murai

Sunday, March 2, 2014

Konsert Teaterikal Suara bermula 3 hingga 9 Mac

KISAH cinta tidak kesampaian, putus dan terlerai di tengah jalan, semua itu berlaku di mana-mana, di lokasi penggambaran mahupun di alam rumah tangga sebenar. Antara Awie, Erra Fazira dan Ziana Zain, hanya Ziana yang terkecuali daripada dibayangi detik keruntuhan mahligai bahagia. Awie dan Erra, masing-masing sudah meredah banyak tragedi luka, sama ada dalam percintaan, pertunangan dan perkahwinan.

Jika tidak satu Malaysia, rasa-rasanya tiga perempat pengikut dunia hiburan sudah maklum bahawa Awie, Erra dan Ziana sedang membikin sebuah sejarah. Mereka turut mengadaptasi dan memutarkan semula detik kegemilangan yang dikecapi saat kejora karier mula bersinar terang di langit industri.

"Dahulu, lakonan kami tidak berjaya, tidak kesampaian. Lakonan kami yang dahulu satu kegagalan. Ia gagal menjadi realiti," ungkit Awie merujuk kepada perhubungan silamnya bersama Erra Fazira saat mula bercerita tentang gelora emosi menjelang malam pembukaan Konsert Teaterikal Suara Kita, esok.

Kata Awie lagi, 'kegagalan' itu antara faktor yang barangkali membawa mereka untuk kekal diingati dan mendewasakan mereka sehingga ke hari ini.

"Saya semakin berani menerima mandat sebagai pelakon. Sebagai pelakon teater contohnya, saya pernah diberi penghargaan dalam bidang teater. Erra juga begitu, selepas filem-filem bersama saya, dia memperoleh kejayaan menggondol banyak anugerah dalam filem-filem lain. Dia pernah mendapat anugerah Pelakon Wanita Terbaik. Maksudnya kami sudah matang. Mungkin penonton juga akan dapat melihat sebuah persembahan, sebuah lakon semula yang lebih baik berbanding filem-filem kami yang dahulu.

Ziana dan Erra tidak hanya termangu di sisinya. Di pentas Panggung Sari nanti, Erra yang semestinya akan menjadi titik perhatian umum. Perceraiannya dengan Engku Emran Engku Zainal Abidin pada 18 Februari lalu bagaikan tiket pemanas. Status Erra sebagai janda yang masih dalam edah itu juga sudah menerbitkan aura sensasi.

Berada di tengah-tengah antara Erra dan Awie, penyanyi berkening lentik, Ziana Zain bukanlah watak tambahan. Ketika Erra dan Awie harus menelan banyak andaian daripada khalayak umum, Ziana turut tidak boleh merasa selesa hanya kerana kisah peribadinya tidak dicanang orang.

Kehidupan berkeluarga menjadikan Ziana agak pemilih bahkan agak jarang peminat berpeluang menyaksikan Ziana untuk terlibat dalam mana-mana persembahan mega. Ziana seperti sudah punya banyak masa untuk merelakan jadual menguruskan anak-anak dan suami diketepikan semata-mata untuk kembali berseronok bersama rakan-rakan. Dia kembali bergelumang dengan rejim latihan intensif bukan hanya untuk sebuah konsert tetapi berteater dalam disiplin lakonan yang ketat.

"Mujur juga tawaran ini datang ketika anak-anak sudah boleh ditinggalkan memandangkan mereka sudah besar. Anak yang sulung sudah tinggal di asrama. Saya sudah berkompromi dengan suami tentang jadual latihan dan persembahan nanti," terang Ziana dalam nada ceria. Baca artikel penuh

sumber: Kosmo

Tuesday, February 25, 2014

Lagi Ulasan Konsert Teaterikal Suara Kita


Maklum saja dalam tempoh 20 tahun, peminat seusia dan sebaya atau membesar dengan Sembilu mempunyai nostalgia sendiri membabitkan filem mahupun kisah cinta mereka dulu.

“Bagi saya, hendak mengimbau cerita cinta antara kami saya anggap sebagai ‘lakonan’ tidak berjaya kerana pertunangan antara kami putus. Namun segala pengalaman dilalui, sama ada membabitkan perkara peribadi mahupun kerjaya, mendewasakan kami.

“Apatah lagi dalam kerjaya, kami semua meraih kejayaan dan Erra beberapa kali menang anugerah Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia dan saya menerusi pementasan teater juga pernah menang Pelakon Terbaik di BOH Cameronian Arts Award.

“Apabila yang terbaik digabungkan, ia menjadi lebih bagus. Pastinya cinta kami di atas pentas jauh lebih baik dan berjaya berbanding percintaan sebenar.

“Namun jangan salah sang­ka, apa yang saya tegaskan ini ­hanya membabitkan pementasan bakal dipersembahkan,” kata­nya.

Melihat pada sudut lebih positif, Awie berharap gabu­ngan persembahan bersama dua nama besar itu paling ditunggu kerana mereka sudah lama tidak mengadakan persembahan bersama, terutama Erra.

“Saya mengharapkan kisah percintaan kami dulu tidak terlalu digembar-gemburkan sehingga menimbulkan cerita kurang enak. Tambah pula kami punya kehidupan masing-­masing dan keluarga.

“Begitupun andai ada yang bercakap mengenainya, saya tidak dapat mengelak kerana filem yang kami bintangi sebelum ini pernah menjadi fenomena,” katanya.

Kata Awie, pada persembahan Konsert Teaterikal Suara Kita, sesuatu yang istimewa akan dipersembahkan. Ia tidak menceduk filem Sembilu secara keseluruhan, sebaliknya jalan cerita dibina berdasarkan lagu yang bakal didendang.

“Yang penting, ia memberikan peminat kesudahan ­kepada apa yang berlaku kepada kami dalam filem itu. Antara lagu yang bakal didendang ialah lagu solo dan duet antara ­pelakon seperti Senja Nan ­Merah, Bara, Kekal, Pertemuan, Ukiran Jiwa dan Cinta Abadi.

“Satu lagu baru duet antara saya dan Erra juga akan diperkenalkan dalam pementasan itu,” katanya.

Bagi Ziana atau nama sebenarnya Siti Roziana Zain, 46, semua yang terbabit ­dengan Konsert Teaterikal Suara Kita bersikap terbuka dengan ­meletakkan apa yang pernah berlaku antara mereka sebelum ini ke tepi, sebaliknya ­lebih ­memikirkan apa yang dapat diberi kepada penonton yang membeli tiket untuk menyaksikan mereka. baca artikel penuh

source: Metro

Saturday, February 22, 2014

Video: Di Sebalik Tabir Sesi Fotografi Bersama Awie, Erra Fazira & Ziana Zain

Konsert Teaterikal Suara Kita

Khusus untuk peminat setia Awie, Erra Fazira dan Ziana Zain, saksikan video di sebalik tabir sesi fotografi yang berlangsung bersama Media Hiburan, baru-baru ini.

Gabungan mantap mereka yang begitu dikenali menerusi filem-filem 'box office' 90-an bakal dapat disaksikan semula menerusi 'Konsert Teaterikal Suara Kita' yang akan berlangsung di istana Budaya pada 3 hingga 9 Mac ini.



Sumber: mediahiburan

Friday, February 14, 2014

KONSERT TEATERIKAL SUARA KITA DAPAT SOKONGAN TOURISM MALAYSIA

KONSERT TEATERIKAL SUARA KITA

Adalah satu kelebihan sekiranya seni persembahan menjadi nadi sesebuah negara atau bandaraya. Kegemilangan seni persembahan sudah lama berakar umbi di bandaraya bandaraya utama dunia terutama di negara negara maju. Malaysia amnya dan Kuala Lumpur khasnya tidak harus ketinggalan dalam meniti peluang ini.

Sebuah pementasan seni persembahan memanifestasikan sosio-budaya setempat. Ia mampu menjadi platform dalam mengenali dan menghayati intipati sesebuah negara, bandaraya dan bangsa. Dengan wujudnya pentas bertaraf antarabangsa seperti Istana Budaya, kita harus mengambil peluang tersebut sebaiknya.


Gandingan bintang popular Awie, Erra Fazira dan Ziana Zain pernah melakar sejarah kutipan tertinggi filem Melayu sebanyak RM4.2 juta menerusi filem Sembilu pada tahun 1994.

Kisah percintaan tiga segi, penuh konflik dan dendam telah mencipta fenomena di khalayak filem Melayu dan seni popular ketika itu.

Lantas dengan imej yang ‘glamour’ dan kontemporari, mereka menjadi ikon anak muda dalam dunia percintaan dan mendapat liputan meluas di media popular. Setelah hampir 20 tahun senario itu berlalu, tiga orang bintang ini akan kembali menggarap kenangan melalui Konsert Teaterikal Suara Kita.

Pementasan selama 7 hari ini berkonsepkan gabungan lakonan dan nyanyian dalam mengimbau episod kegemilangan filem-filem Melayu ‘pecah panggung’ yang pernah menggegarkan sinema Malaysia dua dekad lalu, iaitu Sembilu, Sembilu 2, Tragedi Oktober, Maria Mariana dan Merah.

Filem-filem tersebut dibintangi oleh Awie, Erra Fazira dan Ziana Zain yang menjadi nadi utama Konsert Teaterikal Suara Kita. Persembahan selama 2 jam 30 minit ini akan mementaskan semula sorotan babak dari filem filem tersebut sebagai teras dan latar penceritaan. Ia juga akan diwarnai dengan nyanyian 22 buah lagu malar segar dari Awie, Erra Fazira dan Ziana Zain.

Konsert Teaterikal Suara Kita diterbitkan oleh Awie Entertainment Sdn Bhd dan mendapat sentuhan Erma Fatima sebagai Pengarah Pementasan, Azmi Zainal Abidin sebagai Pengarah Produksi serta Edrie Hashim sebagai Pengarah Muzik. Selain turut membariskan tenaga kerja produksi berpengalaman serta kerjasama erat tenaga kerja pengurusan dan teknikal Istana Budaya.


Melihat akan potensi pementasan tersebut sebagai sebuah produk pelancongan dan budaya popular, pihak Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan Malaysia (MOTAC) telah mengambil inisiatif untuk menyatakan sokongan penuh dan kerjasama kepada Awie Entertainment Sdn Bhd yang bertindak sebagai penganjur.

Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan Malaysia (MOTAC) mengalu-ngalukan dan menggalakkan badan badan korporat melibatkan diri dalam penajaan Konsert Teaterikal Suara Kita atau sebarang kolaborasi yang memberi manfaat kepada kedua pihak. Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan Malaysia (MOTAC) juga mengumumkan insentif potongan cukai kepada badan badan korporat yang terlibat.

Seharusnyalah, Konsert Teaterikal Suara Kita bukan sekadar sebuah pementasan teater muzikal biasa, tetapi menjadi salah satu acara penting dalam kalendar Tahun Melawat Malaysia 2014.Konsert Teaterikal Suara Kita  ini bakal dipentaskan di Istana Budaya pada 3 hingga 9 Mac 2014 ini.


Source: Murai

Saturday, January 25, 2014

Photo: Sekitar Sidang Media Konsert Suara Kita

 
Konsert teaterikal Suara Kita yang menggandingkan tiga penyanyi popular Awie, Erra Fazira dan Ziana Zain akan dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya bermula 3 hingga 9 Mac 2014 ini.

Pementasan berkonsepkan gabungan lakonan dan nyanyian yang mengimbau episod kegemilangan filem Melayu 'box office' sekitar dekad 90-an tentunya tidak akan dilepaskan oleh peminat yang membesar dengan seleksi lagu-lagu 'evergreen' dari filem lakonan tiga bintang hebat ini.


Tiket-tiket untuk konsert ini sudah boleh dibeli dengan melayari www.ticket2u.biz dan di kaunter tiket Istana Budaya pada harga RM79, RM149, RM199, RM249, RM299, RM349, RM399 dan RM 499.

Baca Artikel sebelumnya

Berikut photo sekitar Sidang Media Konsert Suara Kita






Saturday, January 18, 2014

Suara Kita - Konsert Gabungan Awie, Erra Fazira dan Ziana Zain


Tiga penyanyi dan pelakon hebat era 90-an iaitu Awie, Ziana Zain dan Erra Fazira bakal digandingkan dalam satu persembahan istimewa di pentas Panggung Sari, Istana Budaya menerusi 'Konsert Teaterikal Suara Kita'.

Menurut satu kenyataan media kepada mStar Online, pementasan konsert itu akan berkonsepkan gabungan lakonan dan nyanyian bagi mengimbau episod kegemilangan filem Melayu ‘pecah panggung’ sekitar tahun 1990-an yang dibintangi mereka seperti Sembilu, Sembilu 2, Tragedi Oktober, Maria-Mariana dan Merah.

"Awie antara penyanyi genre rock dan pop terbaik tanah air, nama beliau sudah sinonim dengan pementasan teater dan di layar perak.

"Begitu juga dengan Ziana yang memiliki karisma tinggi dalam nyanyian selain Erra dirindui sebagai primadona filem Melayu pada era 90-an.

Konsert tersebut akan berlangsung bermula 3 hingga 9 Mac depan.

Pementasan selama 2 jam 30 minit itu akan mengimbas semula sedutan babak-babak daripada filem-filem tersebut sebagai teras dan latar penceritaan.

Tiket Konsert Teaterikal Suara Kami berharga RM79, RM149, RM199, RM249,RM299, RM349, RM399 dan RM499 boleh dibeli dengan melayari www.ticket2u.biz dan di kaunter tiket Istana Budaya.

Pihak penerbitan juga menawarkan promosi pra-jualan potongan sebanyak 10 peratus hanya sah bermula dari 15 Januari sehingga 1 Februarii 2014 sahaja.

Selain itu, bagi pembeli tiket-tiket bernilai RM399 dan RM499, anda layak untuk mendapatkan jemputan ke majlis jamuan dan beramah mesra bersama artis-artis yang terlibat pada 9 Mac 2014, pukul 9 malam, dengan bayaran tambahan sebanyak RM 150.00.

Peluang ini hanya terhad kepada 500 orang penonton sahaja.

Source: Mstar

Saturday, September 22, 2012

Awie & Ziana Zain Beraksi Di Kejohanan Piala Sultan Selangor 2012

Awie & Ziana Zain Beraksi Di Kejohanan Piala Sultan Selangor 2012


Dua penyanyi tersohor Awie dan Ziana Zain bakal membuat persembahan sempena kejuaraan bola sepak Piala Sultan Selangor edisi ke-11 yang akan berlangsung di Stadium Shah Alam, di sini pada 29 September depan.

Kedua-dua penyanyi itu akan menampilkan satu persembahan istimewa sebagai tanda sokongannya kepada pasukan Selangor yang akan menentang Singapura pada perlawanan itu.

Ziana Zain berkata, membuat persembahan dalam sesebuah acara sukan seperti itu diharap mampu memberi semangat kepada pasukan Selangor agar dapat menewaskan Singapura selain membangkitkan perasaan teruja penyokong-penyokong bola sepak tempatan.

Source: mstar