Selepas melalui kegetiran hidup termasuk kerjaya seni tahun lalu dek dituduh sebagai perampas serta perosak rumah tangga orang, kebahagiaan ternyata bakal menyebelahi hidupnya tak lama lagi.
Kes perceraian Romie dan bekas isterinya Nur Liyana Manan juga sudah bernoktah. Pasangan itu disahkan bercerai pada 9 Disember lalu di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam. Romie yang juga seorang ahli perniagaan sudah bergelar duda.
Malam Sabtu lalu sekitar jam 9 malam, Hanez dan Romie diraikan dalam satu majlis pertunangan. Majlis diadakan di kediaman keluarga Hanez di Seremban asalnya dirancang secara tertutup tetapi turut dihadiri rakan media termasuk dari Hlive! dan Melodi.
Kata Hanez, dia dan Romie memberi tempoh enam bulan untuk bertunang dan disatukan dalam tahun ini juga.
"Alhamdulillah majlis berjalan dengan lancar dan seadanya malam Sabtu lalu. Ia dibuat untuk keluarga terdekat serta teman rapat saja secara tertutup. Asalnya hanya mahu mengundang 150 orang saja dan dibuat penambahan menjadi 200 orang pula.
"Pada saat akhir, ia bertambah sekitar anggaran 400 orang. Mujurlah makanan yang dihidangkan cukup untuk mereka yang hadir. Mulanya memang nak buat lepas waktu Maghrib, tapi pihak lelaki mahu selepas Isyak," katanya.
Mengenai undangan media, Hanez berkata ia daripada pihak lelaki.
Dalam pada itu, kisah hubungan Hanez yang bernoktah dengan Romie beberapa bulan lalu bukan sandiwara atau rekaan. Romie sendiri mengakui hubungan mereka berakhir seperti yang dipaparkan di dalam Melodi di TV3.
"Memang kami putus ketika itu. Cuma dalam tempoh berpisah, Romie bersungguh sungguh mahu memenangi hati saya semula. Dia datang pujuk. Paling penting, dia memenangi hati keluarga saya," katanya.
Bagaimana pula dengan kisah lelaki bergelar juruterbang yang dikaitkan sebagai pengganti Romie. Bahkan ada yang melihat lelaki berkenaan sekadar kambing hitam mengaburi kisahnya dengan Romie.
"Lelaki itu kawan baik saya. Jangan babitkan dia dalam semua ini. Jangan salah faham hanya kerana dia rapat dengan saya," katanya.
Apa harapan Hanez untuk semua ini?
"Saya mengharapkan penamat yang baik untuk ini. Saya anak sulung daripada tiga beradik dan keluarga juga mahukan yang terbaik untuk saya. Saya tak mengharapkan majlis yang berskala besar, cukup mereka yang datang nanti akan tumpang gembira," katanya.
Sumber: Bharian
0 comments:
Post a Comment