Friday, January 30, 2015

Konsert Anuar Zain ke layar perak, cipta sejarah tersendiri


Dengan kerjasama TGV Cinemas, konsert penyanyi terkenal, Anuar Zain 3 Dekad: Muzik, Cinta & Sanubari akan dipertontonkan kepada umum di layar perak bermula Februari ini.

Tayangan pertamanya dijangka akan diadakan di TGV One Utama pada 15 Februari  jam 3 petang.

Kerjasama Anuar bersama TGV ini merupakan yang pertama seumpamanya buat artis tempatan.

Tayangan tersebut khas buat peminat yang tidak berkesempatan hadir ke konsert berkenaan serta bagi yang mahu menonton semula konsert yang pernah melakar kejayaan besar pada tahun 2013.

Kata Anuar, ia juga adalah salah satu rangka promosi penerbitan CD, VCD dan DVD konsert tersebut yang akan mula dijual pada tarikh yang sama.

“Ini merupakan kali pertama untuk penyanyi tempatan mengadakan tayangan konsert di layar perak. Saya bersyukur kerana mendapat sokongan dari TGV serta mempunyai pasukan kerja yang kreatif terutamanya buat Anuar Zain Network dan Universal Music Malaysia.

Konsert ini akan ditayangkan bermula 15 Februari dalam dua slot tayangan khas selama dua jam setengah,” katanya yang ditemui di sidang media pelancaran CD, VCD dan DVD serta pratonton konsert tersebut pada Selasa.


Tambah Anuar, kerjasama dengan TGV adalah hikmah di sebalik mengapa pihaknya mengambil masa dua tahun untuk menghasilkan CD, VCD dan DVD konsert ini.

"Ramai yang bertanya mengapa mengambil masa dua tahun untuk mengeluarkan CD, VCD dan DVD konsert ini, sebetulnya pihak kami mahukan memastikan kualiti yang terbaik buat produk ini.

Walaupun ia dianggap lambat, kami kemudian mendapat kerjasama dengan TGV untuk ditayangkan sekali di pawagam. Jadi saya kira ini hikmah di sebalik masa yang diambil," jelas Anuar.

Selain berpeluang untuk menyaksikan siaran penuh konsert tersebut, peminat turut berpeluang menonton beberapa klip istimewa di sebalik tabir pembikinan konsert dan wawancara eksklusif bersama Anuar.

Anuar turut memaklumkan bahawa dia akan turun padang menjelajah pawagam TGV yag terpilih untuk bertemu peminat bagi tujuan promosi.


Anuar Zain
Anuar Zain menunjukkan mokap buku biografi Konsert 3 Dekad kepada wartawan yang akan dibuka untuk jualan pada 15 Februari
 
Mereka yang berminat untuk menonton boleh melayari www.tgv.com.my atau laman rasmi Facebook TGV bagi menempah tiket atau maklumat lanjut.

Manakala CD, VCD dan DVD edaran Universal Music Malaysia ini akan mula dijual pada 15 Februari dengan harga RM49.90 (DVD) dan RM32.90 (CD).

Dalam sidang media yang sama, Anuar turut melancarkan buku rasmi biografi konsert tersebut.

“Ini adalah hasil dari jurufoto rasmi kami, Amri Ginang. Buku ini akan dibuka untuk jualan pada tarikh yang sama” kata Anuar sambil menunjukkan mock-up buku biografi Konsert 3 Dekad kepada wartawan.

Konsert Anuar Zain 3 Dekad: Muzik, Cinta & Sanubari pada 16 Februari 2013 yang lalu telah mencipta sejarahnya yang tersendiri apabila dibanjiri oleh lebih 6,000 peminat.

Konsert  bersempena 30 tahun penyanyi kacak ini bergelar anak seni telah diadakan di Stadium Melawati, Shah Alam dengan iringan 26 pemuzik profesional bersama empat penyanyi latar.

Dalam perkembangan terkini, Anuar bakal mengadakan konsert ‘Three Decades of Music’ di The Star Theatre, Singapura pada 7 Februari nanti.

0 comments:

Post a Comment