Friday, May 2, 2014

Mohd Mentor Buka 'Bisnes' Karaoke Bergerak


Juara Mentor musim keempat iaitu Mohd meluaskan perniagaannya dengan memandu van untuk mencari rezeki bagi menjalankan perniagaan pusat karaoke bergerak.

Mohd atau nama sebenarnya Mohd Izwan Mohd Nor, 28, berkata, dia tidak berasa malu menjalankan perniagaan berkenaan kerana ia pekerjaan yang halal selain mendatangkan keuntungan lumayan.

“Buat apa nak malu? Masa kecil dulu saya pernah tolong ibu saya jual ketupat di psar untuk dapat duit. Dari kecil saya dah biasa dengan bidang perniagaan,” katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Rabu.

Mohd berkata, pusat karaoke bergerak ini dijalankan sejak sebulan lalu yang dibuka di kaki lima berdekatan Restoran Zubaidah, Danau Kota, Setapak dekat sini.

Katanya, perniagaan itu dibuka bermula puklul 10 malam sehingga 4 pagi  untuk mereka yang tidak mampu berhibur di pusat-pusat hiburan karaoke yang mengenakan bayaran tinggi.

Karaoke bergerak yang diperkenalkan itu kata Mohd, hanya mengenakan bayaran RM2 bagi sebuah lagu ataupun membayar secara pekej iaitu RM10 untuk enam buah lagu.

Katanya, setakat ini sambutan yang diterimanya amat menggalakkan khususnya kepada orang ramai yang gemar menghabiskan masa di restoran berkenaan.

Tambahnya lagi, perniagaan itu dijalankan sejak lima tahun lalu tetapi berpusat di kampung halamannya di Johor Baharu, Johor.

Secara keseluruhan dia mempunyai dua buah lori dan tiga buah van bagi memudahkan mengendalikan perniagaan karaoke bergerak itu.

Mohd turut mempromosikan perniagaannya di laman-laman sosial.

“Sebelum ini karaoke bergerak  saya jalankan di Johor dan sekarang saya kembangkan ke Kuala Lumpur.

“Kalau menggunakan lori, ia lebih selesa kerana peminat karaoke boleh menyanyi di atas lori itu. Biasanya lori hanya digunakan untuk ke kawasan pedalaman di Johor. Kalau di tengah-tengah bandar, kami gunakan van sahaja,” katanya.

Ujar Mohd, purata pendapatan hariannya untuk sebuah pusat karaoke bergerak yang dijalankan ialah kira-kira RM300.

Selain perniagaan itu, Mohd juga mempunyai restoran asam pedas di Danga Bay, Johor Baharu dan Ulu Tiram, Johor yang dikendalikan oleh keluarganya.

Sumber: Mstar

Groupon Malaysia tawar peluang bertemu Brad Pitt 17 Mei ini

Syarikat e-niaga, Groupon telah menawarkan tawaran Epic deal kepada para pelanggan bagi memberi peluang untuk menyertai majlis Gala ‘Make It Right ‘ iaitu organisasi yang diasaskan oleh aktor terkenal Hollywood, Brad Pitt di New Orleans, Amerika Syarikat pada 17 Mei ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Groupon Eric Lefkofsky, tujuan tawaran itu diadakan adalah untuk mendedahkan orang ramai mengenai organisasi tersebut.

“Melalui usaha tanggungjawab sosial syarikat ini, kami telah membantu untuk membina dan menyokong komuniti di sekitar menerusi ribuan peniaga tempatan sejak penubuhan Groupon ini.

"Dengan adanya kerjasama ‘Make It Right’, kami dapat mendedahkan kepada berjuta-juta orang di seluruh dunia mengenai projek yang penting ini dan membantu organisasi tersebut untuk membuat perubahan yang signifikan bahawa seseorang itu perlu membantu berjuang bagi kawasan kejiranan yang lain di seluruh dunia,” katanya.

Selain itu, syraikat e-niaga sosial dan platform pembelian secara kolektif itu didapati sudah pun menyumbang sebanyak RM326,950 kepada ‘Make It Right’ bagi membantu dan membina komuniti sekitar.

Sehubungan itu, Groupon Malaysia turut menawarkan ganjaran Epic Deal itu kepada pelanggan di negara ini termasuklah dua tiket penerbangan berstatus VIP ke New Orland, tiket ke majlis gala ‘Make It Right 2014’ serta tiket menyertai acara selepas majlis. baca artikel penuh

Sumber: Astroawani

Sofia Jane menang Pelakon Utama Terbaik di Anugerah Seni BOH

Pelakon terkenal Sofia Jane memenangi trofi Pelakon Utama Terbaik kategori teater di Anugerah Seni BOH Cameronian ke-11 yang berlangsung malam tadi.

Sofia memenangi trofi tersebut atas kecemerlangannya membawakan watak Bulan dalam monolog Laut Lebih Indah Dari Bulan dalam Teater Kompilasi arahan Nam Ron.

Pelakon filem Hanyut itu menewaskan pelakon terkenal pemenang pelbagai anugerah iaitu Sharifah Amani dari teater yang sama dan pelakon Izzue Islam dari teater Maduku Kalut.

Menerusi teater yang sama, pelakon pertama kali di pentas teater, Aqasha membawa pulang trofi Pelakon Pembantu Terbaik (teater) menewaskan Vanidah Imran.

Masing-masing membawa pulang sebuah trofi yang telah disampaikan oleh penggiat teater terkenal Fatimah Abu Bakar dan Melissa Saila.

Walau bagaimanapun, pengarah Teater Kompilasi, Nam Ron tewas dalam tiga pencalonan yang disenaraikan iaitu Skrip Asal Terbaik dan Pengarah Terbaik kepada Fasyali Fadzly dari Teater Juta Juta.

Anugerah Seni BOH Cameronian dianjurkan oleh BOH Plantations dan Kakiseni, membawa penonton ke era 60an di Stadium Negara.

Di majlis itu, penghargaan buat tiga legenda seni tanahair Seniman Agung Tan Sri P.Ramlee, penggiat teater Datuk Krishen Jit dan Sasterawan Negara Dato' Dr. Usman Awang turut diberikan.

Majlis itu turut dihadiri Yang Berbahagia Dato' Norliza Rofli Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Caroline Russel Ketua Pegawai Eksekutif BOH Plantations, penggiat seni tanahair dan orang awam.

Turut mendapat perhatian pada malam itu adalah persembahan duo Fatimah Abu Bakar dan Melissa Saila yang mempersembahkan puisi nukilan Usman Awang "Kekasih" yang diberikan nafas lagu puisi.

Majlis itu dikemudikan oleh Shelah (Edwin Sumun) dan Harith Iskander.

Acara Anugerah Seni BOH Cameronian ke-11 diarahkan oleh Ida Nerina.

Sumber: Astro Awani

Thursday, May 1, 2014

Pelakon veteran Sidek Hussain meninggal dunia

Pelakon Sidek Hussain meninggal dunia malam Ahad setelah menderita ketumbuhan di wajahnya sejak 30 tahun lalu, yang dikenal pasti bersifat kanser tahap keempat.

Allahyarham Sidek, 63, dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur sejak 22 Mac lalu selepas pengsan ketika membeli barangan keperluan dapur bersama cucunya.

Keadaan Allahyarham dilaporkan bertambah kritikal sejak beberapa hari lalu dan doktor tidak dapat menjalankan rawatan kimoterapi kerana keadaannya yang terlalu lemah.

Ketumbuhan yang mencapai berat dua kilogram itu mula muncul ketika berusia 20an lagi.

Selain kanser, Allahyarham turut mengidap penyakit jantung dan paru-paru.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Sebiah Sulaiman dan lima orang anak.

Jenazah dimandikan di Masjid Kuang dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kuang, Batu 17, Selangor tengahari Isnin.

Allahyarham mula dikenali pada 1982 selepas membintangi filem Toyol sebagai pelakon utama, diikuti filem Potret Maria.

Pada 2011, Allahyarham Sidek menerima anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat di Anugerah Festival Filem Malaysia ke-24 serta Pelakon Pembantu Terbaik Anugerah Skrin.

Sumber: Astro Awani

Ziela Tidak Hirau Kontroversi, Satukan Semula Sharnaaz & Nelydia Senrose


PENERBIT drama Ziela Jalil memberitahu bakal menyatukan semula pasangan pelakon Bukan Kerana Aku Tak Cinta iaitu Sharnaaz Ahmad dan Nelydia Senrose dalam drama terbaharunya berjudul Di Bawah Lindungan Kaabah.

Ziela selaku Pengarah Urusan,  Pena Creative Sdn. Bhd. berkata, keserasian dan populariti yang diraih kedua-dua pelakon itu dalam Bukan Kerana Aku Tak Cinta membuatkan dia cuba menggabungkan lagi mereka berdua.

"Saya suka dengan keserasian mereka dalam drama Bukan Kerana Aku Tak Cinta dan saya akan gandingkan mereka drama adaptasi novel berjudul Di Bawah Lindungan Kaabah.

"Namun kali ini watak mereka berlainan dan bertentangan dengan drama itu. Novel itu merupakan antara novel terlaris di pasaran dan ada pengikut tersendiri," katanya kepada mStar Online.

Tambah Ziela, selain pasangan tersebut beberapa artis popular dan kontroversi turut berlakon dalam karya itu termasuklah Keith Foo, Diana Danielle dan Azlee Khairi.

Dia juga yakin senarai nama besar dalam drama tersebut bakal mendapat perhatian dan rating yang tinggi.


"Saya kumpulkan semua pelakon hebat untuk sebuah drama yang baik dan Insyaallah kita akan memulakan penggambaran tidak lama lagi," katanya.

Dalam pada itu mengulas tentang kontroversi yang menimpa  beberapa pelakon itu termasuklah insiden Sharnaaz dikatakan bergaduh dengan Lisdawati, Ziela mengakui pada awalnya kejadian itu agak merisaukan.

Bagaimanpun, katanya, sambutan terus menggalakkan dan penonton lebih memberi perhatian kepada watak-watak yang dibawakan oleh pelakon berbanding kontroversi yang menimpa mereka.

Sumber: Mstar

Tidak Semua Pengarah Boleh Yakinkan Nasha Aziz

Nasha Aziz
Pelakon Nasha Aziz mengakui semangatnya untuk menjalani latihan pementasan teater Di Bawah Lindungan Kaabah terjejas selepas pengarah teater tersebut Rosminah Tahir jatuh sakit.

Nasha, 44, berkata, dia menjadi kurang yakin apabila tanggungjawab pengarah itu diambil alih oleh orang lain sepanjang ketiadaan wanita itu hampir seminggu.

"Saya sedih bila dia sakit dan tidak datang ketika sesi latihan. Saya sanggup ambil dia dan hantar dia pulang jika dia tidak larat untuk datang latihan.

"Saya hanya percaya dia sahaja yang mampu mengarah teater ini dengan baik dan disebabkan dialah antara sebab utama saya terima untuk terlibat dalam teater ini," katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Teater Di Bawah Lindungan Kaabah, di Istana Budaya, di sini pada Isnin.

Rosminah Tahir mendapat rawatan di Pusat Perubatan Ampang Puteri pada 20 April lalu dan dipercayai menghidap angin ahmar. Bagaimanapun keadaannya kembali stabil dan dibenarkan keluar pada 22 April lalu.

Sementara ketiadaan Rosminah, urusan pementasan dan sesi latihan diambil alih sepenuhnya oleh penerbit teater, Rohaya Attan.

Dalam pada itu, Nasha berkata, ini merupakan kali kedua dia bekerja dengan produksi CTRA Production selepas Lantai T. Pinky.Tambahnya, dia turut menerima tawaran ini kerana ia sebuah karya yang diadaptasi daripada novel hebat ulama terkenal Indonesia iaitu Profesor Abdul Malik Karim Amrullah atau lebih dikenali sebagai Hamka.

"Saya akan membawa watak Zainab, cerita ini sangat berat dan saya akui ini adalah cinta saya tahun 2014.

"Watak terlalu sarat dengan memainkan perasaan dan bila kaji semula cerita ini ia sangat menyayat hati," katanya.

Antara pelakon lain yang terlibat dalam pementasan itu ialah Adi Putra, Dafi, Elfira Loy dan Liza Abdullah.

Teater Di Bawah Lindungan Kaabah bakal dipentaskan bermula 9 hingga 18 Mei depan.

Tiket dijual serendah RM30 hingga RM200. Ia boleh dibeli dengan melayari www.AirAsiaRedTix.com.

Sumber: Mstar

Instagram Antara Punca Adam (AF2) & Fiza Bercerai


Pelakon Fiza (Elite) mendedahkan, laman sosial Instagram antara penyebab berlakunya perceraian antara dia dan suaminya iaitu Adam (AF2).

Fiza atau nama sebenarnya Siti Zaidatul Fiza Abdul Halim, 33, berkata, ia bermula apabila pengikut-pengikut Instagram miliknya mula mempersoalkan sebab-sebab dia tidak memuat naik gambar Adam di laman sosial itu dan begitu juga Adam yang tidak berbuat demikian.

"Apabila perkara itu dipersoalkan sehingga mencetuskan spekulasi diantara pengikut-pengikut Instagram, maka perkara itu turut menjadi bualan antara kami sehingga mencetuskan pergaduhan.

"Saya bertindak membuang gambar-gambar kami di laman sosial itu juga kerana terlalu banyak spekulasi mengatakan rumah tangga kami bermasalah.

"Bagaimanapun, itu antara sebahagian punca (perceraian). Mengenai perkara lain, saya tidak boleh ulas. Cuma apa yang saya anggap, tiada jodoh di antara kami," katanya. baca artikel penuh

Sumber: Mstar

Ifa Raziah Kesal Suami Dituduh Tak Mampu Hadiahkan Mercedes


Pelakon dan penyanyi Ifa Raziah kesal apabila ada pihak mempersoalkan kemampuan Mohd Yani Abdul Rahman apabila suaminya itu menghadiahkan dia sebuah kereta Mercedes C200 sempena ulang tahun perkahwinan mereka ke 10, pada 24 April lalu.

Ifa, 39, berkata, sepatutnya pihak berkenaan tidak perlu mempersoalkan apa-apa memandangkan suaminya membeli kereta tersebut atas usaha dalam perniagaan yang mereka jalankan bersama.

"Suka hatilah suami saya nak hadiahkan apa-apa dekat saya! Itu hak dia. Kenapa perlu orang persoalkan kemampuan suami saya?

"Orang hanya melihat pada dasarnya sahaja tetapi mereka tidak tahu apa yang kami lakukan. Kami mempunyai beberapa perniagaan yang diusahakan bersama dan rasanya itu sudah cukup untuk saya jelaskan sama ada dia mampu atau tidak membeli kereta itu.

"Dan sebagai isteri yang banyak berkorban demi suami. Saya rasa layak untuk menerima hadiah itu. Kenapa perlu memandang hina?

“Itulah masalah kebanyakan masyarakat kita, tidak pernah mahu bangga dengan kejayaan orang lain, sebaliknya hanya tahu mengutuk sahaja," katanya kepada mStar Online ketika  dihubungi di sini pada petang Selasa. baca artikel penuh

Sumber: Mstar

Wednesday, April 30, 2014

Istana Budaya Jawab Tuduhan Bunga Citra Lestari

Tuntutan bayaran yang tinggi menjadi punca penganjur konsert Stanza Cinta iaitu Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Istana Budaya tidak dapat memberi ruang kepada penyanyi dari Indonesia iaitu Bunga Citra Lestari untuk menyertai persembahan itu.

Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani berkata, penganjur dan juga artis berkenaan juga tidak pernah menandatangani sebarang kontrak sebagai tanda persetujuan untuk membawa artis berkenaan ke negara ini.

"Kami menghubungi Bunga untuk bertanya tentang bayaran dan harga dia agak tinggi, sementara pihak UUM tidak mampu untuk membayarnya dengan harga itu.

"Tidak lama selepas itu kami terus menghubunginya semula dan membatalkan hasrat tersebut. Tiada sebarang kontrak dibuat antara kedua-dua pihak," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Rabu.

Mohamed Juhari berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Bunga Citra Lestari yang melahirkan rasa terkilan tidak dapat menjayakan Konsert Stanza Cinta di Istana Budaya pada 4 dan 5 April lalu.


Bunga juga mendakwa dia telah menolak beberapa tawaran di Indonesia bagi menjayakan konsert tersebut.

Sementara itu, Mohamed Juhari berkata, konsert Stanza Cinta yang dianjurkan bukan sebuah persembahan kormersial seperti konsert Afgan, Marcell dan Dayang Nurfaizah sebaliknya sebuah konsert ulang tahun dianjurkan universiti.

"Ia sebuah konsert yang memperuntukan bajet rendah tetapi saya yang memberi idea untuk membawa Bunga dalam konsert itu kerana dia ada nilai kormersial.

"Namun apabila harga tinggi, ia tidak mencapai persetujuan pihak universiti dan akhirnya kami menggantikan dia dengan penyanyi tempatan sahaja," katanya.

Konsert Stanza Cinta yang berlangsung pada 4 dan 5 April lalu itu dijayakan oleh Jaclyn Victor, Amy Search, Noh Salleh, Adira dan Haziq.

Dalam pada itu, Mohamed Johari berkata, belum ada sebarang perancangan untuk membawa artis Indonesia untuk beraksi di pentas Istana Budaya buat masa ini.

"Kutipan sangat perlahan untuk konsert. Konsert Glenn Fredly yang sepatutnya berlangsung malam ini (Rabu) terpaksa dibatalkan kerana kurang sambutan," ujarnya.

Sumber: Mstar

Anuar Zain : Gila 'Selfie' Pada Persembahan

Kegilaan mengambil gambar secara ‘selfie’ (self-portrait photograph) yang menjadi trend penggemar media sosial ketika ini merupakan tarikan pada persembahan Anuar Zain sempena minggu setiausaha di Hotel One World di sini pada Selasa.

Gambar-gambar selfie itu kemudiannya dikongsi di laman sosial terutamanya Instagram menerusi hastag antaranya  #anuarzain dan #terindahanuarzain.

Anuar menggunakan 'monopod' untuk bergambar bersama rakan media.
Malah Anuar juga berjaya memukau suasana apabila beliau sendiri menggunakan ‘monopod’ untuk merakam gambarnya bersama-sama peminat.

“Apa kata kita selfie dulu… siapa nak selfie dengan saya…?” antara kata-kata Anuar sebaik sahaja selesai menyampaikan tiga buah lagu.

Persembahan yang dikenali sebagai Terindah… Anuar Zain itu dihadiri kira-kira 700 tetamu yang kebanyakannya peminat penyanyi itu termasuklah setiausaha-setiausaha syarikat bersama bos masing-masing.
Keterujaan masyarakat terhadap media sosial menjadi penyebab Anuar tidak menggunakan banyak ruang pentas sebaliknya lebih selesa untuk bersama peminatnya di meja makan.


Malah peluang itu digunakan sepenuhnya oleh peminat untuk merakamkan gambar-gambar selfie bersamanya.


Persembahan Terindah… Anuar Zain tidak perlu disangkal kerana kekuatan vokal Anuar berjaya menggamatkan suasana tatkala menyampaikan 12 buah lagu antaranya Keabadian Cinta, Bila Resah, Ketulusan Hati, Ajari Aku, Terindah, Sedetik Lebih dan Lelaki Ini.

Anuar turut mempersembahkan lagu daripada album terbaharunya iatu Terindah dan juga Kembali Padamu Ilahi  sebagai mengingati rakannya yang telah meninggal dunia.

Anuar berkata, persembahan berkenaan benar-benar istimewa  kerana buat pertama kali dia terlibat secara langsung daripada urusan persembahan dan juga produksi.

“Matlamat saya adalah untuk pergi lebih jauh, bukan hanya sebuah persembahan tetapi untuk memberikan sesuatu yang lebih bermakna,” katanya. baca artikel penuh

Sumber: Mstar