Bermula dengan kes saman membabitkan pengurusnya, Marina Juki, sehingga kisah pergolakan cintanya bersama aktres cantik, Emma Maembong dugaan bagaikan datang bertalu-talu kepada jejaka kelahiran Kuala Terengganu, Terengganu ini.
Rabu lalu, Zizan diperintahkan mahkamah untuk tidak boleh menandatangani sebarang kontrak dengan mana-mana produksi selepas bekas pengurusnya, Marina Juki berjaya mendapat injuksi sementara terhadapnya atas dakwaan melanggar kontrak.
Ditemui pada majlis pelancaran program kanak-kanak, Projek Ceria di Hospital Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur. Zizan diminta bercerita lanjut tentang kontroversi yang melingkarinya ketika ini.
Kosmo!: Seperti sudah jatuh ditimpa tangga, sekarang satu-persatu masalah menerpa ke dalam hidup Zizan, sebagai selebriti yang juga manusia biasa, bagaimana anda mendepani situasi peribadi dan karier yang agak mencengkam ketika ini?
ZIZAN: Apa jua masalah yang datang saya anggapnya sebagai rezeki dan dugaan. Saya reda dengan ketentuan Yang Maha Esa.
Dalam perkembangan terkini perjalanan dengan bekas pengurus yang juga rakan kongsi, Marina Juki di mahkamah seperti memihak kepada Marina, bagaimana respon anda mengenai perintah mahkamah berkenaan?
Buat masa ini, saya hanya boleh kata, hal itu telah dipanjangkan ke mahkamah. Setakat ini prosiding kes masih lagi berjalan. Biarlah peguam kami berdua yang menguruskan. Saya berharap perkara ini dapat diselesaikan dengan cara baik. Saya juga sentiasa berusaha sekiranya perkara ini dapat diselesaikan dengan baik.
Selepas berita putus dengan Emma Maembong tersebar, anda ada memuat naik gambar di Instagram yang membayangkan hubungan kalian kembali okey. Apakah status terkini hubungan anda dan Emma?
Saya mengakui hubungan kami kini telah kembali pulih. Alhamdulillah, saya tidak mahu perkara ini diperbesarkan lagi. Cuma tahun ini saya mahu menumpukan sepenuh perhatian saya kepada kerjaya. Pada masa yang sama, saya juga berharap agar khalayak dapat mendoakan hubungan kami.
Bagaimana pula dengan penglibatan anda dalam program rancangan Projek Ceria. Apakah peranan dalam program ini?
Saya terlibat sebagai salah satu selebriti jemputan dalam program ini. Saya diminta untuk memenuhi permintaan seorang peminat cilik yang juga penghidap kanser iaitu Mohamad Fakhrul Aiman Mohamad Asri, 15 tahun.
Menerusi program lima episod itu, saya muncul dalam episod pertama dan telah membuat kejutan kepada Mohamad dengan melakukan kunjungan secara mengejut ke rumah keluarganya di Kuantan, Pahang.
Apakah yang membuatkan anda terpanggil untuk menyertai program ini?
Sememangnya tugas saya sebagai seorang penghibur untuk menghiburkan seluruh peminat. Saya berasa puas apabila dapat menghiburkan golongan ini. Ini kerana, jika tidak dapat menghilangkan penyakit yang ditanggung oleh mereka, sedikit sebanyak saya mampu mengukir senyuman pada bibir mereka.
Adakah anda sebelum ini pernah melakukan program kebajikan dengan melawat kanak-kanak di hospital?
Sejak dahulu lagi saya telah mula melawat kanak-kanak penghidap penyakit kronik, namun, ia tidak dilakukan secara besar. Saya akan pergi melawat sekiranya saya mempunyai kelapangan. Saya ingat lagi, saya pernah dihalau oleh kakitangan hospital kerana melawat pesakit tanpa sebarang surat kebenaran. Bagaimanapun, niat saya ikhlas ingin menghiburkan dan memberi sedikit sumbangan kepada mereka.
Mengenai penyertaan anda melalui kumpulan Virus. dalam Maharaja Lawak Mega 2014 (MLM 2014) pula, rata-rata kritikan mengatakan kalian kurang menyengat. Apa komen anda?
Mulanya agak sukar untuk kami, iaitu saya, Yus dan Tauke Jambu mendapatkan keserasian. Jika dilihat keseluruhan MLM 2014, kami sudah pun mendapat rentak kami. Saya cuma mengharapkan yang terbaik
Sumber: Kosmo
0 comments:
Post a Comment