Sunday, February 2, 2020

Aiman Tino enggan kontroversi jadi bebanan

PERNAH terpalit dengan kontroversi video lucah miripnya pada tahun lalu, penyanyi Aiman Tino mengakui sedikit sebanyak isu tersebut memberi kesan kepada kerjayanya.

Aiman atau nama sebenarnya Mohammad Aiman Yusri, 22, berkata dia mahu melupakan perkara itu kerana enggan menjadikan ia sebagai satu bebanan.



"Sebenarnya sedikit sebanyak kontroversi itu memang kesan pada kerjaya saya tapi bagi saya benda ini lumrah dalam industri hiburan.

"Cuma kita kena terima dan cuba dapatkan semula kepercayaan peminat. Lagipun saya dah lama tak keluarkan lagu dan banyak kerja perlu dilakukan.

"Sebab itu, saya tak nak jadikan isu ini beban sehingga memberi kesan dalam kehidupan saya," kata Aiman kepada mStar.


Aiman pernah terkait dengan kontroversi video lucah pada Mac dan Disember tahun lalu.

Dalam pada itu, bercerita tentang perkembangan kerjaya, Aiman memberitahu dia sentiasa terbuka untuk menerima karya daripada komposer lain.

Bagaimanapun, dia sebelum ini terpaksa menolak secara baik kerana mahu lebih mengutamakan hasil karya ibu bapanya terlebih dahulu.

"Sebenarnya saya terbuka saja untuk menyanyikan lagu daripada komposer lain. Sebelum ini memang ada terima tapi saya terpaksa tolak.

"Bukan disebabkan saya hanya boleh nyanyi lagu hasil ciptaan ibu bapa saya sahaja tapi saya mahu memberi keutamaan kepada mereka dahulu.

"Mereka masih ada banyak lagu-lagu yang disimpan. Insya-Allah mungkin selepas ini, saya bekerjasama dengan komposer lain pula," ujarnya.

0 comments:

Post a Comment