Sunday, February 15, 2015

Nad Zainal : Enggan jaja kisah peribadi

Hampir lima tahun bergelar pelakon, Nad Zainal, 25, boleh berbangga kerana berjaya meletakkan dirinya antara barisan artis muda berbakat.

Sebaik muncul menerusi drama Blogger Boy 2, bakatnya mendapat perhatian hingga tawaran berlakon sama ada drama bersiri mahupun teater tidak pernah putus.

Antara karya dibintangi dan berjaya mengangkatnya antara pelakon diminati ramai seperti Memberku Hawa, Bukan Bidadari dan Kampung Girl.

Begitupun perubahan pantas dalam industri penerbitan menyaksikan lebih banyak pendatang baru diberi tempat memegang peranan utama dalam telefilem mahupun drama rantaian membuatkan survival pelakon agak tinggi.

Nad atau Farah Nadia Zainal Abidin ketika ditemui pada majlis prebiu teater Diari Wanita yang dipentaskan di Istana Budaya pada 11 Februari lalu mengakui terasa tekanan kerana perkembangan itu.

Katanya, walaupun perkara itu berlaku dia bersyukur kerana rezekinya tidak pernah putus. Cuma sekarang sebagai pelakon Nad tidak boleh memilih.

“Saya tidak lagi dapat memilih watak diidamkan. Saya tidak tahu sekarang mengapa perubahan dalam industri penyiaran berlaku begitu pantas apabila banyak muka baru lebih mudah diberi tempat memegang watak utama.

“Perkara itu disebabkan pelakon baru lebih terbuka, membuatkan mereka disenangi teman media mahupun pihak stesen,” katanya.

Selain itu, menjaja cerita peribadi menjadi strategi pendatang baru untuk lebih dikenali menyebabkan pelakon lebih serius dengan kerja seperti Nad bukan lagi menjadi pilihan.

Bagi Nad, perkara itu mungkin ada benarnya tetapi menafikan dia tidak mesra media atau susah untuk memberi kerjasama.

Pelakon kelahiran Kajang, Selangor ini berkata, apa saja isu dikaitkan dengan dirinya dia sedia memberikan kenyataan.

“Ada perkara berkaitan peribadi saya kongsi dengan rakan media apabila ada bertanya. Contohnya mengenai cinta dan putus cinta. Begitupun, saya bukanlah jenis manusia yang akan berkongsi semuanya.

“Saya bimbang dengan tanggapan umum sekiranya berkongsi lebih akan dianggap cuba menjaja cerita peribadi dan orang akan berasal mual. Biarlah bakat saya lebih dipandang peminat berbanding isu peribadi,” katanya.

Waktu sama kata Nad, dia mempunyai pengalaman apabila kisah dia putus cinta mendapat perhatian lebih berbanding drama dijayakan. Perkara itu juga tegasnya membuatkan dia berasa serabut.

“Apapun yang berlaku dalam kerjaya, saya akan tetap terus dan lakukan kerana impian saya besar berbanding hanya menjadi pelakon. Saya mahu menjadi penulis skrip dan pengarah suatu hari nanti.

“Untuk menjadi pengarah yang baik, saya terlebih dulu harus menjadi pelakon yang baik. Saya menganggap apa yang saya lakukan sekarang sebagai satu proses pembelajaran,” katanya.

Mengenai pembabitannya dalam teater Diari Wanita, Episod YB & Nyonya kata Nad dia menerima tawaran daripada penerbitnya, Citra Production sebagai cabaran untuk memperbaiki lakonan.

“Teater ibaratnya saya kembali ke sekolah untuk mengasah bakat. Sebelum ini saya sudah pun menjayakan teater Biniku Kalut cuma dalam Diari Wanita ini berbeza apabila saya harus bermonolog.

“Sebagai pelakon, ia benar-benar mencabar kemampuan saya apatah lagi ia membabitkan kisah hidup seorang wanita dikenali sebagai Tan Sri dalam usaha menjalankan tanggungjawabnya dan menyusur kehidupanya dari kecil sehingga berjaya menjadi menteri,” katanya.

Walaupun takut dengan cabaran perlu digalas tetapi tegas Nad, dia perlu melakukannya bagi memastikan dia tidak berasa selesa dengan corak lakonan dihadapan kamera drama.

Selain Nad, turut menjayakan Diari Wanita Episod YB & Nyonya ialah pelakon dan penyanyi Amy Mastura, Misha Omar dan Dina Nadzir manakala Sherry Al-Hadad memegang watak utama sebagai Nyonya. Pementasan bermula 11 Februari lalu dan berakhir esok.

Sumber: Hmetro

0 comments:

Post a Comment