Sunday, February 15, 2015

Fara Fauzana sedia kendali Muzik Muzik

Fara Fauzana bukan pengacara Muzik Muzik tetapi empat tahun berpeluang mengendalikan acara kemuncak Anugerah Juara Lagu (AJL).

Kini apabila diberi tanggungjawab menggalas tugas sebagai pengacara Muzik Muzik 30 menggantikan Scha Alyahya, ibaratnya bulan jatuh ke riba. Kepercayaan diberikan produksi cukup mengujakan Fara apatah lagi sudah lama mengidamkan peluang itu.

Katanya, dia tidak mengambil masa lama untuk membuat keputusan apabila ditawarkan selepas acara kemuncak AJL 29 berlangsung.

“Apabila kontrak tiga tahun mengacarakan program Nona tamat, saya mahu mencuba sesuatu yang batu. Apabila ditawarkan menjadi pengacara Muzik Muzik 30, saya tidak mengambil masa yang lama memikirkannya kerana berpeluang mencuba sesuatu yang baru.

“Sebab lain, apabila kembali berganding dengan AG dan saya terima tawaran ini kerana AG. Kami sama-sama mengendalikan segmen Hot FM Krew dan sekarang berganding pula dalam Muzik Muzik. Kami sudah faham benar cara kerja dan perangai masing-masing,” katanya yang mula bersiaran pada 7 Februari lalu.

Fara akui sebelum ini sudah menjayakan macam-macam program dan menyifatkan tugas barunya sebagai sirih pulang ke gagang.

“Saya pernah mengacara acara kemuncak AJL selama empat tahun dan tak sangka diberi peluang mengacara Muzik Muzik 30. Ini penghargaan yang sungguh bermakna buat saya,” katanya.

Menerusi edisi ke-30 ini, selain set studio baru, paparan kandungan program kali ini juga lebih padat serta menghiburkan.

Bagi memantapkan lagi pengisian, ada beberapa segmen baru diperkenalkan iaitu Launching At Muzik Muzik, Projek Muzik Hot FM dan Story of the Month.

“Selain carta lagu dan pencalonan lagu setiap minggu untuk menentukan 30 karya layak ke separuh akhir Muzik Muzik 30, program ini juga berkongsi perkembangan terkini industri muzik dalam dan luar negara selain memperkenalkan tiga segmen baru.

“Launching At Muzik Muzik bakal menyaksikan sesi rakaman atau bersiaran secara langsung di lokasi pelancaran album dan acara muzik yang dikendalikan artis serta syarikat rakaman.

“Story of The Month pula projek bulanan memaparkan perbincangan secara santai bersama penyanyi, penulis lirik dan komposer. Mereka akan mengupas isu dan menjawab persoalan berkaitan industri muzik tempatan.

“Projek Muzik Hot FM pula mengetengahkan karya lagu asli dan aliran muzik baru. Penyertaan perlu dihantar dalam bentuk klip video sama ada kamera atau telefon pintar. Lagu-lagu yang mendapat sambutan akan kekal sebagai bahan kandungan berlanjutan hingga ke peringkat separuh akhir dan juga AJL30,” katanya.

Fara akui tiada masalah menyesuaikan diri dengan tugas barunya itu dan akan mengaplikasikan pengalamannya dalam konti. Kata Fara, dia juga teringin mengacarakan program kanak-kanak selepas ini.

Mengenai hos musim baru Nona, Fouziah Gous, Fara memuji pelakon jelita itu ada potensi melangkah jauh dalam bidang pengacaraan.

Katanya, penonton tidak seharusnya membuat penilaian berdasarkan episod pertama dikendalian pelakon itu kerana siapa pun pasti akan gemuruh apabila kali pertama mengacara.

“Saya pun begitu juga tetapi percayalah jika kita beri peluang, pasti ada peningkatan dalam gaya penyampaiannya. Tahun lepas kita undang 12 artis sebagai pengacara jemputan Nona dan daripada pemerhatian saya, masing-masing boleh buat dan ada kelebihan tersendiri.

“Fouziah berganding dengan saya ketika itu dan saya tahu dia boleh buat. Beri dia masa tiga bulan, anda pasti dapat lihat perubahan besar. Saya dulu apa yang orang tak mengata. Macam-macam tetapi sudahnya kehadiran saya dapat diterima,” katanya.

Mengenai statusnya yang masih solo, Fara berkata sebagai manusia normal keinginan untuk berumah tangga itu pasti ada namun setakat ini belum ada jodoh. Dia tidak menafikan ada yang cuba mendekati tetapi kesibukannya menjadi penghalang.

“Bohonglah kalau saya kata langsung tak berkawan. Kawan itu ada namun untuk ke arah lebih serius, setakat ini belum.

“Tak mengapalah, setiap yang berlaku itu perancangan Allah. Kalau tidak ditentukan untuk lelaki, mungkin saya ditentukan untuk ibu bapa saya. Tak perlu risau atau susah hati,” katanya.

Sumber: Hmetro

0 comments:

Post a Comment