Monday, February 23, 2015

Amir Raja Lawak Nikah 14 Mac

 

Pelawak Amir Raja Lawak mula mengedarkan kad jemputan perkahwinannya dengan Nur Intan Syafinaz yang akan berlangsung pada 15 Mac ini di kediaman pihak perempuan di Kampung Kubu Gajah, Sungai Buloh, di sini.

Amir atau nama sebenarnya Mohammad Amirullah Azmi, 27, berkata, majlis tersebut akan diadakan secara sederhana yang dihadiri oleh keluarga dan rakan-rakan termasuklah pihak media yang dianggarkan kira-kira 500 orang tetamu.

Majlis resepsi itu akan bermula pada pukul 12 tengah hari manakala pernikahannya akan berlangsung pada 14 Mac selepas Asar di lokasi yang sama.

Bekas peserta program Raja Lawak musim ke-3 (RL3) itu berkata, persiapan untuk majlis perkahwinan sudah hampir 70 peratus siap dilakukan dan hanya tinggal beberapa perkara temasuk persiapan dulang hantaran.




"Alhamdulillah semuanya sudah hampir siap bagi saya pihak lelaki tidak banyak yang perlu disiapkan cuma dulang hantaran dan duit kenduri sahaja.

"Kami belum buat keputusan nak beri berapa dulang kerana saya dengar ibu saya ingin buat penambahan lagi," ujarnya ketika dihubungi mStar Online, pada Sabtu.

Amir turut memberi wang hantaran sebanyak RM13,000 kepada pihak pengantin perempuan.

Amir berkata, mereka bakal mengayakan pakaian pengantin daripada butik Afeer yang turut menaja pelamin dan solekan pada majlis tersebut.

Dalam pada itu, ditanya tentang perancangannya selepas mendirikan rumah tangga, Amir berkata, dia akan memberi perhatian terhadap bisnes roti bakar yang dibuka di Sungai Pusu, Gombak sejak sebulan lalu.

"Selepas berumah tangga tanggungjawab juga lebih besar selepas ini dan saya perlu cari sumber pendapatan sampingan supaya kehidupan lebih selesa.

"Saya ada membuka gerai roti bakar di Gombak dan saya rancang untuk buat secara serius supaya boleh menjadi sumber pendapatan sampingan kepada keluarga nanti," ujarnya.

Pasangan ini mengikat tali pertunangan pada 13 Jun 2014.
Sementara itu, majlis persandingan bagi pihak lelaki akan diadakan pada 2 April depan.

Sumber: Mstar

0 comments:

Post a Comment