Tuesday, November 25, 2014

Kegagalan Rumah Tangga Tak Patah Semangat Jimmy Shanley Genggam ‘Masters’

Kegagalan rumah tangga tidak membataskan semangat Jimmy Shanley untuk menggengam Sarjana.

Pengacara tv Astro saluran 118 Goshop dan deejay radio Ultra.Fm, Jimmy Shanley, 34, telah menerima Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Pro Cancelor UiTM, Tan Sri Arshad Ayub pada istiadat Konvokesyen UiTM ke-81 di Dewan Agong Tuanku Cancelor (DATC) UiTM Shah Alam pada Sabtu lalu.

Menurut laporan portal UiTM alumni, Jimmy tidak menjadikan masalah rumah tangganya sebagai rintangan untuk tidak meneruskan cita-citanya menggenggam Sarjana.

Malah, masalah rumah tangganya yang mendapat liputan media beberapa tahun kebelakangan ini dijadikan pengalaman yang mematangkan dirinya.

“Kegagalan rumah tangga memang memeritkan namun ia mengajar saya untuk bangkit semula setelah mengalami kekecewaan dalam kehidupan.

“Sebagai manusia biasa, saya tidak mahu terus melayan perasaan kecewa dan kegagalan rumah tangga menguatkan semangat saya untuk belajar dan terus belajar hingga saya mengambil keputusan meneruskan niat untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana yang tergendala pada tahun 2005,” katanya.

Jimmy yang bercadang melanjutkan pengajian peringkat Doktor Falsafah empat tahun lagi berkata, isterinya, Mariam Jamilah Abdul Jalil, 27, merupakan inspirasinya selama berada dalam fasa pemilihan semangat diri untuk kembali kepada landasan kehidupan sebenar.

“Sebelum mengenali isteri saya, terlebih dahulu saya mengenali ibu mertua saya Prof. DR. Zuriah Abdul Rahman yang merupakan pensyarah Arshad Ayub Business School UiTM. Beliau sendiri yang menemuduga saya untuk masuk ke dalam kursus semasa saya masih dalam proses untuk pulih.

“Sudah tertulis jodoh saya untuk berkahwin dengan anak penemuduga saya. Saya bersyukur mengecap dua kebahagiaan tahun ini iaitu bernikah dengan sekali lafaz bersama isteri tercinta dan menggenggam kelulusan MBA di dalam konvokesyen.” katanya.

Sumber: AstroGempak

0 comments:

Post a Comment