KUALA LUMPUR: Penyanyi Ayai (Ilusi) yang mendapat RM100,000 selepas menjuarai Gegar Vaganza pada mulanya curiga untuk menggunakan wang berkenaan bagi menunaikan ibadah haji bersama isteri.
Ayai atau nama sebenarnya Zaharuddin Kamaruddin , 53, berkata, dia telah meminta kepastian mengenai status wang tersebut sama ada dibolehkan atau tidak bagi tujuan berkenaan.
"Saya bertanya beberapa ustaz di program Pencetus Ummah dan Imam Muda Asyraf tentang perkara ini bagi meminta kepastian kepada mereka yang tingggi ilmu agama Islamnya terlebih dahulu.
"Mereka memberitahu tidak salah kerana ia adalah rezeki yang Allah beri dan dilakukan dengan hasil usaha sendiri serta tidak menyimpang.
“Lirik-lirik dalam lagu yang saya bawakan sepanjang pertandingan juga tidak mempunyai unsur lucah dan mengghairahkan," ujarnya kepada mStar Online.
Penyanyi itu diumum sebagai juara program akhir Gegar Vaganza yang berlangsung pada 4 Januari lalu di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil sekali gus membawa pulang wang tunai RM100,000 berserta sebuah trofi.
Tambah Ayai, keyakinan yang diberikan oleh beberapa ustaz tersebut membuatkan dia betul-betul tekad melaksanakan ibadah itu pada tahun ini.
Sementara itu, Ayai berkata kehidupanya mula berubah sejak menyertai pertandingan tersebut.
Jadualnya kini padat dengan program bersama Astro serta banyak menerima undangan nyanyian.
"Alhamdulillah kehidupan berubah sedikit selepas menang, pergi pasar pun orang ingin bergambar kalau dulu ketika bekerja di pejabat pun orang tidak tahu saya ini penyanyi.
"Undangan nyanyian pun sudah ada dan aktiviti dengan pihak Astro membuatkan saya terpaksa berulang alik dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur," katanya.
Sumber: Mstar
0 comments:
Post a Comment