Penyertaan dalam kelas agama sejak tahun lalu telah membuka hati pelakon Umie Aida untuk terus berhijab. Walaupun berkeberatan untuk menghebahkan soal penghijrahnya, namun Umie mengakui selesa dan lebih tenang dengan perubahannya.
 
“Penyertaan saya dalam kelas agama sejak tahun lalu banyak membuka hati dan mata membuat keputusan ini. Saya bukan saja tenang apabila bertudung, malah imej ini membuatkan saya jadi seronok dan selesa. Perasaan jatuh cinta untuk memakai tudung itu semakin menebal.
 
“Ketika menunaikan solat tarawih, perasaan hendak memakai tudung bertambah. Tak lengkap hari tanpa mengenakan tudung. Jadi, saya rasa sudah tiba masanya untuk saya berimej begini dan saya sudah bersedia 100 peratus," ujar Umie yang dipetik daripada Berita Harian. 
 
Menyentuh mengenai rezekinya dalam dunia lakonan selepas berhijab, Umie mempunyai jawapannya sendiri;
 
“Dalam soal rezeki, saya tak takut dan risau biarpun sudah bertudung. InsyaAllah, ia tidak akan menyekat rezeki saya. Apabila saya sudah rasa cinta untuk menutup aurat, perasaan itu mengatasi segala-galanya."

Sumber: Mediahiburan