Pelantun lagu 'Akhiri Penantianku', Aliff Satar mendedahkan bakal menamatkan zaman bujang bersama tunangnya, Sha Dila Halid, pada bulan September ini selepas mengikat tali pertunangan pada Januari lalu.
 
Memetik laporan Sinar Harian, Alif bagaimanapun masih merahsiakan tarikh sebenar mereka disatukan.
 
"Tarikhnya sudah ada, tetapi apa yang saya boleh katakan, kami bakal disatukan pada September ini. Saya lakukan ini kerana menghormati semua pihak termasuk keluarga bakal isteri," ujarnya. 
 
Dalam pada itu, Aliff turut berkongsi persiapan majlis perkahwinannya;
 
"Hal-hal besar seperti tempahan lokasi dan baju pengantin telah diselesaikan. Cuma, ada beberapa perkara kecil yang masih lagi di peringkat perbincangan," katanya yang memilih Kuala Lumpur sebagai lokasi majlis perkahwinan.

Sumber: Mediahiburan