Showing posts with label maharaja lawak mega 2014. Show all posts
Showing posts with label maharaja lawak mega 2014. Show all posts

Sunday, February 15, 2015

Taufik Batisah : Tak bercinta dengan Fazura

Sepanjang menjayakan program realiti lawak popular Maharaja Lawak Mega 2014 (MLM2014) sebagai juri tetap yang berakhir 6 Februari lalu, ramai yang mula tertarik dengan penghibur terkenal Singapura, Taufik Batisah, 33.

Selain memiliki wajah tampan, single terbarunya, Awak Kat Mana yang kini sering berkumandang di kebanyakan stesen radio, berjaya memenangi hati sebahagian besar peminat muzik tempatan.

Dilihat dari latar kerjaya seninya, Taufik bukanlah nama baru. Selain muncul sebagai penyanyi Melayu paling popular di Singapura, album dihasilkan pernah juga dipasarkan di sini sekitar 2009 dibawah syarikat rakaman Suria Records.

Kolaborasinya dengan penyanyi popular Indonesia, Rossa menerusi lagu Aku Bersahaja juga banyak membantu mengukuhkan namanya sebagai penyanyi disegani di Nusantara.

Dalam pelbagai kejayaan diraih sejak menjuarai rancangan realiti popular Singapura Idol pada 2004, nyata MLM2014 dilihat lebih berjaya membawa Taufik untuk bertapak kukuh di sini, hingga lagu Awak Kat Mana diterima ramai.

Program itu juga menjadikan namanya jadi sebutan apabila dikaitkan dengan gosip bercinta dengan seorang lagi juri MLM2014, Fazura.

Taufik yang ditemui pada malam kemuncak MLM2014 dan turut menyampaikan lagu Awak Kat Mana, mengakui perkara itu. Katanya, waktu sama ada yang memperlekehkan karya popularnya yang kini makin diminati dan menjadi ikutan dan siulan ramai.

“Mereka yang mengikuti perkembangan kerjaya seni saya dari dulu hingga sekarang memang berasa hairan apabila saya muncul dengan lagu seperti Awak Kat Mana.

“Ia ternyata berbeza sekali dengan apa yang pernah saya cipta dalam album sebelum ini. Kebanyakan karya saya baladanya lebih tebal, lirik bermain dengan perasaan dan susunan muziknya besar. Lagu baru saya ini satu karya ringan.

“Saya kalau hasilkan lagu mengambil masa berhari-hari tetapi untuk lagu ini hanya beberapa jam. Saya buat untuk suka-suka tetapi tidak sangka apabila didengarkan kepada peminat, mereka menggemarinya terutama peminat muda,” katanya.

Kata Taufik, dia melihat perkembangan itu dari sudut positif kerana ada peminat baru dan muda yang tidak tahu karya dihasilkan sebelum ini, akan mencari dan mahu mendengarnya selepas mendengar Awak Kat Mana.

“Ternyata Awak Kat Mana membuka pintu mereka untuk mengenali Taufik Batisah. Apabila lagu ini diminati ramai, saya dan pihak pengurusan mengambil keputusan memasukkannya dalam album terbaru, Fique. Ia sudah dipasarkan di Singapura pada Disember tahun lalu,” katanya.

Mengenai reaksi peminat apabila dia muncul dengan lagu Awak Kat Mana, Taufik akui pada peringkat awal ada yang berasa meluat tetapi mereka tetap ikut menyanyikannya.

“Kalau lihat pada liriknya pun terlalu ringkas. Tapi tidak sangka walaupun ada yang membencinya tetapi tetap mendengarnya. Bukan itu saja, sampaikan ada yang terikut-ikut dengan rentak tariannya. Apabila ia menjadi fenomena saya benar-benar terkejut,” katanya.

Walaupun Awak Kat Mana menjadi kegilaan ramai, Taufik tidak bercadang menjadikan ia sebagai genre pilihan atau konsep albumnya selepas ini.

Mengenai gosipnya dengan Fazura yang dikatakan mempunyai hubungan istimewa, penyanyi yang mempunyai kelulusan dari Singapore Polytechnic itu mengatakan ia hanyalah andaian penonton setia program lawak terbabit.


Katanya, penonton suka dan memberi reaksi setiap kali dia dan Fazura memuat naik gambar bersama di laman sosial masing-masing.

“Dari situ timbul cerita mengatakan kami sedang menjalin hubungan cinta. Hakikatnya, tidak mungkin saya dan Fazura mempunyai apa-apa hubu­ngan istimewa kerana menganggapnya seperti adik,” katanya.

Fazura pula sebelum ini mengakui suka berkawan dengannya dan tidak menolak jika Taufik sudah jodohnya. Fazura juga memuji Taufik sebagai seorang yang bijak dan memang sukakan karaktor lelaki begitu.

Waktu sama, Taufik menghargai peluang diberikan Astro apabila mempelawanya menjadi juri tetap MLM2014, kerana impaknya sangat besar sehingga namanya dikenali di sini.

Selain Taufik dan Fazura turut dipilih sebagai juri tetap MLM2014 ialah Farah Quinn dari Indonesia serta Datuk Jalaluddin Hassan.


Sumber: HMetro

Monday, February 9, 2015

Zero Minta Pendapat Pakar Sebelum Buat Persembahan Tarian Singa

Zero diumum juara MLM2014.

 
KUALA LUMPUR: Juara Maharaja Lawak Mega 2014 (MLM 2014), kumpulan Zero memberitahu mereka meminta nasihat daripada pakar tarian singa sebelum menjadikan ia sebagai persembahan.

Ahlinya, Sahrif Kadil Doli Sahrif berkata, mereka meminta pendapat tersebut agar persembahan yang dilakukan itu tidak menyentuh sensitiviti masyarakat Cina.

"Kami minta nasihat daripada pakar tarian singa terlebih dahulu tentang apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan dan boleh menyentuh sensitiviti mereka.

"Mereka beritahu is hanya tarian dan untuk hiburan masyarakat Cina sahaja dan tidak berkaitan dengan agama atau menyentuh sensitiviti mereka, lagi pun niat kami untuk beri penghargaan pada masyarakat Cina yang bakal menyambut tahun baru Cina tidak lama lagi," ujarnya kepada mStar Online.

Zero ditemui selepas selesai Maharaja Lawak Mega 2014 Akhir yang berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil, di sini, malam Jumaat.

Kumpulan Zero dianggotai oleh tiga beradik, Sahrif Kadil Doli Sahrif, Mohammad Syaiful Doli Sahrif dan Sharif Kunal Doli Sahrif.

Kemenangan tersebut membolehkan Zero membawa pulang wang tunai berjumlah RM500,000 beserta trofi sumbangan Astro.

Tarian Singa persembahan tema bebas mendapat pujian daripada juri.

Sementara itu, mereka juga berjanji akan menunaikan hasrat untuk membina sebuah rumah yang selesa untuk keluarga mereka di Sabah dan menghantar ibu menunaikan umrah.

Selain itu, mereka akan menggunakan wang kemenangan itu untuk persiapan perkahwinan Mohammad Syaiful yang akan berlangsung Mac depan.

"Duit kemenangan ini kami sudah berniat untuk menghantar ibu menunaikan umrah dan membina rumah yang selesa untuk keluarga kami di sana.

"Selebihnya adalah untuk persiapan perkahwinan Syaiful yang akan berlangsung Mac ini," ujarnya.

Sharif berkata, mereka tidak pernah menjangkakan untuk berada di pentas akhir MLM 2014, apatah lagi menjuarai program tersebut.

Sementara itu, Sharif berkata, mereka bertiga akan berpindah ke Kuala Lumpur bagi meneruskan kerjaya sebagai pelawak.

"Insya-Allah kami semua akan pindah terus ke sini untuk memberi perhatian terhadap bidang ini.


Sumber: Mstar

Sunday, February 8, 2015

MLM2014: 11 Fakta Kumpulan Zero

11 fakta kumpulan zero yang mungkin anda tidak tahu.


1. Mereka sudah ketiadaan bapa dan tanggungjawab ketua keluarga, dipikul 3 beradik ini
2. Pekerjaan mereka bertiga sebelum bergelar pelawak ialah nelayan dan buruh kasar
3. Arwah bapa mereka cacat penglihatan namun dapat membesarkan mereka – perkara ini sekaligus membakar semangat mereka untuk mengubah nasib keluarga
4. Syaiful berhenti belajar ketika Tingkatan Satu sahaja bagi membantu menyara kehidupan keluarga
5. Ketiga beradik ini mahir dalam ilmu mempertahankan diri iaitu Silat Gerak Kilat sejak dari kecil – diajar oleh bapa mereka
6. Daripada silat itu juga, mereka handal melakukan aksi akrobatik
7. Mereka mengakui bergaduh ketika mengeluarkan idea untuk dipersembahkan di pentas MLM demi mendapatkan idea yang terbaik
8. Syaiful, Kadir, Kunal berasal daripada suku kaum Bajau Simunul


9. Nama kumpulan Zero itu dicerminkan melalui kehidupan mereka yang disifatkan serba kosong
10. Syaiful yang juga terkenal dengan nama gelaran Melati akan menamatkan zaman bujang pada pertengahan Februari ini.
11. Mereka mahu gunakan wang kemenangan untuk bawa orang tua menjejakkan kaki ke tanah suci Mekah

Saturday, February 7, 2015

Maharaja Lawak Mega 2014 Akhir: Juara milik Zero

Kumpulan Zero dinobatkan sebagai juara Maharaja Lawak Mega 2014 yang berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur, malam tadi. - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Kumpulan Zero yang menjadi pilihan ramai pihak sebelum ini menepati ramalan apabila mereka bertiga diumumkan sebagai juara Maharaja Lawak Mega 2014 (MLM 2014), malam tadi.

Pengumuman kejuaraan itu diumumkan oleh hos MLM 2014, Dato` AC Mizal dalam di Gelanggang Akhir MLM 2014 yang bersiaran dari Stadium Putra, Bukit Jalil.

Kejayaan Zero ini sememangnya dramatik apabila mereka pada asalnya hanyalah peserta Hot Seat MLM 2014 namun atas kerja keras dan kreativiti mereka sepanjang 13 minggu MLM 2014 berlangsung, mereka akhirnya kini dinobatkan sebagai juara.

Kejayaan ini juga membolehkan mereka tiga beradik iaitu Syaiful, Shahril dan Atu menerima hadiah wang tunai RM500,000 berserta sebuah trofi sumbangan Astro.

Juara tahun lalu, Sepahtu yang dianggotai Jep dan Shuib juga boleh berpuas hati di mana rezeki terus berpihak kepada mereka untuk merangkul gelaran naib juara dan memenangi wang tunai RM250,000 berserta sebuah trofi.

Satu-satunya peserta solo, Nabil pula terus gah di pentas Maharaja Lawak apabila dia menduduki tempat ketiga kali ini dan memenangi wang tunai RM150,000 berserta trofi.


Ajak dah Shahrol yang membentuk kumpulan Shiro pula menghuni tempat ke-4 dan memenangi RM50,000 berserta trofi dan kumpulan Bocey terpaksa berpuas hati di tempat ke-5 dan membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000 berserta trofi.

Untuk peringkat akhir ini, dua tema telah diberikan kepada setiap finalis di mana untuk pusingan pertama, mereka akan membuat persembahan bebas dan untuk pusingan kedua, tema muzikal harus dipersembahkan.

Maharaja Lawak Mega 2014 Akhir telah disiarkan di Astro Ria (104), Astro Warna (132) dan Mustika HD (134).

Juri-juri yang mengadili dan memberi komen untuk setiap finalis pada malam tadi seperti biasa ialah Dato` Jalaluddin Hassan, Farah Quin, Fazura dan Taufik Batisah yang turut membuat persembahan istimewa di atas pentas.