Showing posts with label Nur Sajat. Show all posts
Showing posts with label Nur Sajat. Show all posts

Monday, February 3, 2020

Sajat masih di Makkah, agensi umrah arah mutawif ‘slow talk’

USAHAWAN kontroversi Nur Sajat masih berada di Kota Suci Makkah bagi meneruskan ibadah umrah, demikian menurut agensi pelancongan Albayt Travel Sdn Bhd yang menguruskan perjalanannya sekeluarga.



Menurut pemilik agensi itu, Sofwan Che Seman, Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad Kamaruzzaman bersama rombongannya akan pulang ke Malaysia pada Jumaat ini.

"Dia masih berada di sana. Namun mutawif kita yang mengikuti rombongan itu sudah pesan kepada Sajat supaya mengubah penampilannya dan kembali kepada fitrah yang asal.

"Bagaimanapun sehingga kini saya masih belum menerima maklum balas perkembangan terkini berhubung isu berkenaan," katanya ketika dihubungi mStar pada Isnin.

Sementara itu Sofwan berkata pihaknya juga sudah merujuk konsulat Malaysia di Jeddah, Arab Saudi untuk tindakan selanjutnya.

Susulan itu Sofwan turut membuat laporan polis di Kota Bahru, Kelantan bagi menjelaskan mengenai kontroversi Sajat memakai pakaian wanita dan bertelekung di Makkah.

"Pada mulanya Sajat dah ahli kumpulannya telah dimaklumkan lebih awal berkenaan perbezaan pengurusan dan tatacara hukum hakam ibadah umrah serta ziarah mengikut jantina berbeza yang perlu dipatuhi.

"Mereka juga telah bersetuju serta akur dengan arahan pihak syarikat kami. Bagaimanapun setibanya di Madinah, Sajat dan dua orang lagi rakannya didapati melanggar garis panduan yang telah ditetapkan dengan memakai busana wanita di tempat awam dan Masjid Nabawi.




Laporan polis dibuat susulan isu lelaki berpakaian wanita yang kecoh di media sosial.

"Ini menimbulkan reaksi negatif daripada masyarakat terhadap syarikat kami," katanya menerusi laporan polis berkenaan.

Hasil semakan, laman Facebook agensi itu juga sudah dinyahaktifkan kerana dipercayai menjadi mangsa kecaman netizen yang mahu menyatakan rasa marah.

Sementara itu menerusi laporan polis yang sama, Sofwan turut memaklumkan bahawa Sajat mahu mendiamkan diri buat sementara waktu.

"Pihak Albayt Travel mengarahkan pihak Sajat dan ahli kumpulannya membuat permohonan maaf secara terbuka terhadap insiden yang berlaku tetapi mutawif beritahu saya bahawa Sajat ingin mendiamkan diri kerana tidak ingin mengeruhkan lagi keadaan," katanya.

Terdahulu, kecoh di media sosial apabila Sajat dilihat mengenakan pakaian seperti wanita ketika mengerjakan umrah di Tanah Suci Makkah.

Perkara itu ternyata mengundang kemarahan netizen yang rata-rata menyifatkan ia suatu penghinaan yang dibuat terhadap agama Islam.

Sunday, February 2, 2020

Sajat tak bertudung di KLIA, tapi bertelekung di Makkah

SUSULAN kebimbangan ramai mengenai penampilan usahawan kosmetik, Nur Sajat ketika mengerjakan umrah dengan berpakaian seperti wanita lengkap bertelekung, agensi pelancongan yang menguruskannya tampil membuat kenyataan.

Menurut Albayt Travel Sdn Bhd, Sajat mengikut garis panduan pemakaian yang ditetapkan sebelum semua jemaah berlepas ke Tanah Suci Makkah.

“Untuk trip keluarga Sajat tunaikan umrah, kami di Albayt Travel hanya bantu permudahkan urusan umrah dengan saranan supaya ikut garis panduan ditetapkan.


“Sekiranya lelaki semestinya dengan penampilan lelaki dan sebaliknya untuk perempuan.

“Jadi sepanjang pelepasan semuanya mengikut garis panduan yang ditetapkan. Cuma sebaliknya berlaku apabila di sana,” kata agensi itu menerusi Facebook pada Ahad.

Terdahulu Sajat menerusi laman sosialnya meluahkan rasa syukur apabila rombongan ke Tanah Suci bersama ahli keluarga dan anak angkatnya berjalan lancar dan dipermudahkan.

Sajat membalas komen netizen mengenai penampilannya sebelum berlepas ke Makkah.

Perkongsian Sajat mencetuskan pelbagai andaian dalam kalangan netizen khusus membabitkan pemakaiannya.

Lebih membimbangkan apabila tular sekeping foto Sajat bersama rombongan lain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan memakai jubah putih dan berjaket denim tanpa tudung.

Namun Sajat berkongsi foto dia di atas kapal terbang dengan memakai pakaian yang sama namun kali ini dia dilihat lengkap mengenakan hijab seperti wanita.



Pada ruangan komen, Sajat memberitahu pengikutnya bahawa dia hanya bertudung ketika mengerjakan umrah.

“Saya bukan wanita bertudung, buat apa nak pakai awal-awal. Kat Malaysia pun buka tudung, nak mengerjakan umrah je saya pakai tudung.

“Kalau saya mempermainkan agama Allah dah bagi bala kat sini,” katanya.

Hasil semakan mStar di Facebook agensi pelancongan itu, rata-rata netizen meluahkan rasa kesal dan marah kerana dikatakan gagal memantau perkara itu.

“Kita sama-sama doakan supaya Sajat dan yang bersamanya dapat hidayah daripada Allah. Mudahan di sana Allah tunjukkan kebenaran.

“Hanya dia dan Allah yang kenal dia. Kami di Albayt Travel hanya bantu permudahkan urusan tetamu Allah.

“Selebihnya hanya Allah yang tahu. Sama-sama doakan supaya Allah tunjukkan jalan yang benar kepadanya,” tulis agensi itu lagi.