Showing posts with label Konsert Teaterikal Suara Kita. Show all posts
Showing posts with label Konsert Teaterikal Suara Kita. Show all posts

Thursday, March 6, 2014

Dato Yusof Haslam Berlinangan Air Mata Di Konsert 'Teaterikal Suara Kita'


Produser filem Datuk Yusof Haslam menitiskan air mata ketika menonton konsert Teaterikal Suara Kita yang berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya, di sini, malam Isnin lalu.

Yusof, 60, yang bertanggungjawab menjulang nama Awie, Erra Fazira dan Ziana Zain dalam industri filem tanah air pada era 90-an turut bangga dengan kejayaan ketiga-tiga artis berkenaan.

"Konsert ini mengembalikan nostalgia yang cukup bermakna sehingga ada beberapa babak yang buat saya menitiskan air mata.

"Saya terkenangkan perangai dan gelagat Awie, Erra dan Ziana sewaktu di zaman mula-mula saya mengarahkan mereka dalam filem-filem saya dahulu," katanya kepada mStar Online selepas menyaksikan persembahan pertama Konsert Teaterikal Suara Kita, di Panggung Sari, Istana Budaya, malam Isnin lalu.

Ketiga-tiga pelakon itu mencetuskan fenomena apabila muncul dalam filem Sembilu dan Sembilu 2 serta beberapa filem lain terbitan Skop Productions sehingga berjaya mencatatkan kutipan boxoffice.

Tambah Yusof, pada awalnya dia agak terkejut apabila diberitahu untuk mementaskan karya daripada filem-filem berkenaan.

Namun, setelah menonton hasil pementasan itu, dia percaya konsert tersebut bakal mendapat sambutan daripada peminat-peminat yang mengikuti perkembangan filem-filem arahannya itu.

"Sebenarnya saya terkejut apabila diberitahu bahawa mereka bertiga ingin pentaskan semula filem-filem saya.

"Saya macam tidak percaya mereka ingin bergabung semula. Tapi bila melihat persembahan mereka, saya percaya konsert ini akan mendapat kejayaan", ujarnya.

Sementara itu, Awie berkata, kejayaan pementasan tersebut menjadi bukti penyelesaian kemelut hubungan dingin antaranya dengan Erra Fazira.

Tuesday, March 4, 2014

Awie, Erra & Ziana Zain Terserlah Atas Satu Pentas

Konsert Teaterikal Suara Kita mengandingkan Awie, Erra Fazira dan Ziana Zain yang berlangsung pada malam Isnin di Panggung Sari, Istana Budaya membuktikan aura dan kehebatan ketiga-tiga artis ini masih sama seperti dahulu.

Biarpun usia ketiga-tiga artis ini masing-masing sudah mencecah 40-an, namun mereka mampu membawa penonton untuk kembali ke era 20 tahun lalu dengan memberikan persembahan bertenaga.

Konsert yang terbahagi kepada dua segmen itu dibuka dengan nyanyian lagu-lagu popular ketiga-tiga artis berkenaan antaranya Puncak Kasih, Yang Terindah Hanyalah Sementara dan Bara.

Segmen pertama itu membawa penonton mengimbau kenangan terhadap lagu-lagu popular sekitar tahun 1990-an.

Lebih menarik, seramai hampir 1,500 penonton turut bersama-sama mengiringi nyanyian ketiga-tiga artis ini yang membawakan 22 buah lagu popular mereka.

Bagi segmen kedua, persembahan lakonan dalam bentuk teater yang dipetik daripada lima buah filem lakonan mereka iaitu Sembilu, Sembilu 2, Tragedi Oktober, Maria Mariana dan Merah turut menarik perhatian.


Adegan-adegan romantik antara Awie dan Erra Fazira antara yang ditunggu-tunggu penonton. Awie turut menyelitkan adegan lucu yang mencuit hati.

Selain itu, Erma Fatima selaku pengarah persembahan berjaya menyusun babak-babak 'trademark' menggabungkan kelima-lima filem tersebut menjadi satu karya baharu tanpa mencacatkan jalan cerita asal.

Konsert tersebut turut menampilkan gitaris undangan iaitu Mira Fana dan Edrie Hashim bagi mengiringi nyanyian Awie bertajuk Bujang Senang.

Antara lagu yang dinyanyikan ialah Kekal, Bersama Akhirnya, Pasrah, Jendela, Anggapanmu, Nur Nilam Sari, Ku Cinta Padamu, Ratuku, Di Ambang Wati, Senja Nan Merah dan Tragedi Oktober.

Turut hadir pada malam tersebut Datuk Yusof Haslam dan isteri, Datin Patimah Ismail.

Konsert selama 2 jam 30 minit ini berlangsung dari 3 Mac sehingga 9 Mac ini di Panggung Sari, Istana Budaya di sini.


Bagi peminat yang ingin menyaksikan persembahan ini, tiket dijual dengan harga berharga RM79 sehingga RM499 boleh dibeli di kaunter Istana Budaya.

Sumber: Mstar

Sunday, March 2, 2014

Konsert Teaterikal Suara bermula 3 hingga 9 Mac

KISAH cinta tidak kesampaian, putus dan terlerai di tengah jalan, semua itu berlaku di mana-mana, di lokasi penggambaran mahupun di alam rumah tangga sebenar. Antara Awie, Erra Fazira dan Ziana Zain, hanya Ziana yang terkecuali daripada dibayangi detik keruntuhan mahligai bahagia. Awie dan Erra, masing-masing sudah meredah banyak tragedi luka, sama ada dalam percintaan, pertunangan dan perkahwinan.

Jika tidak satu Malaysia, rasa-rasanya tiga perempat pengikut dunia hiburan sudah maklum bahawa Awie, Erra dan Ziana sedang membikin sebuah sejarah. Mereka turut mengadaptasi dan memutarkan semula detik kegemilangan yang dikecapi saat kejora karier mula bersinar terang di langit industri.

"Dahulu, lakonan kami tidak berjaya, tidak kesampaian. Lakonan kami yang dahulu satu kegagalan. Ia gagal menjadi realiti," ungkit Awie merujuk kepada perhubungan silamnya bersama Erra Fazira saat mula bercerita tentang gelora emosi menjelang malam pembukaan Konsert Teaterikal Suara Kita, esok.

Kata Awie lagi, 'kegagalan' itu antara faktor yang barangkali membawa mereka untuk kekal diingati dan mendewasakan mereka sehingga ke hari ini.

"Saya semakin berani menerima mandat sebagai pelakon. Sebagai pelakon teater contohnya, saya pernah diberi penghargaan dalam bidang teater. Erra juga begitu, selepas filem-filem bersama saya, dia memperoleh kejayaan menggondol banyak anugerah dalam filem-filem lain. Dia pernah mendapat anugerah Pelakon Wanita Terbaik. Maksudnya kami sudah matang. Mungkin penonton juga akan dapat melihat sebuah persembahan, sebuah lakon semula yang lebih baik berbanding filem-filem kami yang dahulu.

Ziana dan Erra tidak hanya termangu di sisinya. Di pentas Panggung Sari nanti, Erra yang semestinya akan menjadi titik perhatian umum. Perceraiannya dengan Engku Emran Engku Zainal Abidin pada 18 Februari lalu bagaikan tiket pemanas. Status Erra sebagai janda yang masih dalam edah itu juga sudah menerbitkan aura sensasi.

Berada di tengah-tengah antara Erra dan Awie, penyanyi berkening lentik, Ziana Zain bukanlah watak tambahan. Ketika Erra dan Awie harus menelan banyak andaian daripada khalayak umum, Ziana turut tidak boleh merasa selesa hanya kerana kisah peribadinya tidak dicanang orang.

Kehidupan berkeluarga menjadikan Ziana agak pemilih bahkan agak jarang peminat berpeluang menyaksikan Ziana untuk terlibat dalam mana-mana persembahan mega. Ziana seperti sudah punya banyak masa untuk merelakan jadual menguruskan anak-anak dan suami diketepikan semata-mata untuk kembali berseronok bersama rakan-rakan. Dia kembali bergelumang dengan rejim latihan intensif bukan hanya untuk sebuah konsert tetapi berteater dalam disiplin lakonan yang ketat.

"Mujur juga tawaran ini datang ketika anak-anak sudah boleh ditinggalkan memandangkan mereka sudah besar. Anak yang sulung sudah tinggal di asrama. Saya sudah berkompromi dengan suami tentang jadual latihan dan persembahan nanti," terang Ziana dalam nada ceria. Baca artikel penuh

sumber: Kosmo

Tuesday, February 25, 2014

Lagi Ulasan Konsert Teaterikal Suara Kita


Maklum saja dalam tempoh 20 tahun, peminat seusia dan sebaya atau membesar dengan Sembilu mempunyai nostalgia sendiri membabitkan filem mahupun kisah cinta mereka dulu.

“Bagi saya, hendak mengimbau cerita cinta antara kami saya anggap sebagai ‘lakonan’ tidak berjaya kerana pertunangan antara kami putus. Namun segala pengalaman dilalui, sama ada membabitkan perkara peribadi mahupun kerjaya, mendewasakan kami.

“Apatah lagi dalam kerjaya, kami semua meraih kejayaan dan Erra beberapa kali menang anugerah Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia dan saya menerusi pementasan teater juga pernah menang Pelakon Terbaik di BOH Cameronian Arts Award.

“Apabila yang terbaik digabungkan, ia menjadi lebih bagus. Pastinya cinta kami di atas pentas jauh lebih baik dan berjaya berbanding percintaan sebenar.

“Namun jangan salah sang­ka, apa yang saya tegaskan ini ­hanya membabitkan pementasan bakal dipersembahkan,” kata­nya.

Melihat pada sudut lebih positif, Awie berharap gabu­ngan persembahan bersama dua nama besar itu paling ditunggu kerana mereka sudah lama tidak mengadakan persembahan bersama, terutama Erra.

“Saya mengharapkan kisah percintaan kami dulu tidak terlalu digembar-gemburkan sehingga menimbulkan cerita kurang enak. Tambah pula kami punya kehidupan masing-­masing dan keluarga.

“Begitupun andai ada yang bercakap mengenainya, saya tidak dapat mengelak kerana filem yang kami bintangi sebelum ini pernah menjadi fenomena,” katanya.

Kata Awie, pada persembahan Konsert Teaterikal Suara Kita, sesuatu yang istimewa akan dipersembahkan. Ia tidak menceduk filem Sembilu secara keseluruhan, sebaliknya jalan cerita dibina berdasarkan lagu yang bakal didendang.

“Yang penting, ia memberikan peminat kesudahan ­kepada apa yang berlaku kepada kami dalam filem itu. Antara lagu yang bakal didendang ialah lagu solo dan duet antara ­pelakon seperti Senja Nan ­Merah, Bara, Kekal, Pertemuan, Ukiran Jiwa dan Cinta Abadi.

“Satu lagu baru duet antara saya dan Erra juga akan diperkenalkan dalam pementasan itu,” katanya.

Bagi Ziana atau nama sebenarnya Siti Roziana Zain, 46, semua yang terbabit ­dengan Konsert Teaterikal Suara Kita bersikap terbuka dengan ­meletakkan apa yang pernah berlaku antara mereka sebelum ini ke tepi, sebaliknya ­lebih ­memikirkan apa yang dapat diberi kepada penonton yang membeli tiket untuk menyaksikan mereka. baca artikel penuh

source: Metro