Sebuah klinik di Sungai Buloh tersilap mengeluarkan
sijil cuti sakit (MC) kepada salah seorang pelajar sehingga ianya
dijadikan bahan jenaka di media sosial.
MC tersebut dikeluarkan sebuah klinik swasta bagi mengesahkan seorang
pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di Sungai Buloh yang
menghidap demam campak dan diberikan cuti sakit selama lima hari
sehingga Jumaat ini.
Bagaimanapun, MC yang ditandatangani seorang doktor di klinik tersebut ditulis perkataan '
chicken chop' dan bukannya '
chicken pox' iaitu demam campak.
Kesilapan pada MC tersebut menjadi gurauan dan bualan hangat di media sosial.
Malah, gambar surat MC tersebut turut disebarkan menerusi aplikasi
WhatsApp pada Isnin.
Namun, difahamkan kesilapan tersebut bukan dilakukan oleh doktor tetapi
kakitangan di klinik tersebut yang ditugaskan untuk mengisi slip MC
berkenaan.
Usaha untuk mendapatkan sebarang komen dari klinik tersebut tidak berjaya.
Bagaimanapun, kakitangan di klinik tersebut dilaporkan memberitahu
sebuah portal berita bahawa ia adalah satu kesilapan yang tidak
disengajakan oleh mereka.
"Ia adalah satu kesilapan yang tidak disengajakan oleh pihak kami. Bagi
pihak klinik ini, kami memohon maaf di atas kesilapan tersebut dan mahu
bangkit daripada kesilapan ini," katanya kepada portal tersebut.
Kakitangan klinik tersebut turut memberitahu klinik itu tidak berhenti
dihujani panggilan telefon dari orang ramai yang bertanyakan tentang
perkara tersebut.