Monday, November 10, 2014

Astro Punyai Strategi Pastikan Finalis AF 2014 Terkenal


SHAH ALAM:  Astro mempunyai strategi dalam memastikan juara Akademi Fantasia 2014  (AF 2014) mampu mengekalkan populariti dan terus terkenal dalam industri hiburan tanah air.

Pengurus saluran Astro Ria, Raqim Ahmad berkata, pihaknya akan memastikan kelima-lima peserta akhir itu mempunyai kerjaya yang sudah diaturkan dengan teliti.

Matlamat untuk melahirkan penyanyi yang mempunyai pakej lengkap berjaya apabila kelima-lima peserta akhir ini mempunyai kualiti tersendiri.

"Kali ini kita akan pastikan bukan sahaja juara iaitu Firman, malah kesemua peserta akhir ini akan terus popular dan mempunyai kerjaya untuk mereka yang telah dirancang," ujarnya pada sidang media selepas konsert akhir AF 2014 yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam, di sini, malam Ahad.

Firman bersama peserta-peserta AF 2014 lain.

Raqim berkata demikian ketika diminta mengulas perancangan pihak stesen televisyen tersebut selepas berakhirnya AF 2014 berikutan nasib peserta rancangan realiti tersebut pada musim lalu di lihar kurang popular dan terus tenggelam.

Sementara itu, mengulas lanjut perkara itu katanya, populariti seseorang peserta selepas keluar daripada program realiti itu turut bergantung kepada usaha mereka sendiri.

"Selepas keluar daripada program realiti ini mereka perlu bekerja keras untuk mengekalkan nama mereka untuk terus popular dan bukan hanya bergantung kepada usaha pihak stesen televisyen semata-mata.

"Kalau mereka mahu terus dikenali sebagai penyanyi mereka sendiri ada inisiatif untuk berusaha kearah itu, sebab itu kita lihat ada peserta yang berjaya sebagai penyanyi bukan daripada juara sendiri," ujarnya.

Nuha mendapat tempat keempat.

Sementara itu, Ketua Program Realiti dan Format ASTRO, Namanzee Harris berkata, peningkatan peratusan undian pada AF 2014 menunjukkan bahawa program realiti tersebut diterima kembali.

Katanya, perkara tersebut memberi peluang kepada program tersebut untuk mdiadakan kembali pada musim depan.

"Peratusan peningkatan undian meningkat sebanyak 102 peratus berbanding Akademi Fantasia 2013 lalu dan sebanyak 13 peratus peningkatan berbanding Akademi Fantasia musim pertama.

"Ini menunjukan bahawa masyarakat menerima kembali program realiti ini dan rancangan kami untuk kembali kepada format asal berjaya," ujarnya.

Sementara itu, juara Akademi Fantasia 2014, Firman atau nama sebenarnya Mhd Firman Bansir, 25, berkata, kemenangannya merupakan rezeki yang tidak dijangka.

Dia juga tekad menjadikan bidang nyanyian ini sebagai kerjaya selepas hampir dua tahun menganggur.
Aman 

"Alhamdulillah saya sangat tidak jangka kemenangan ini kerana ini pertama kali saya menyertai pertandingan nyanyian.
"Tujuan utama saya menyertai pertandingan ini adalah untuk mengubah nasib keluarga saya yang hidup dalam keadaan susah, selepas ini Insya-Allah saya akan teruskan perjuangan dalam industri seni suara," katanya.
Dalam pada itu, Firman berkata, wang kemenangan tersebut akan digunakan untuk menghantar kedua ibu bapanya mengerjakan umrah, sementara sejumlah lagi akan didermakan kepada tabung Palestin.
"Saya sudah bernazar jika menang saya akan bawa ibu bapa saya menunaikan umrah dengan wang tersebut, saya tahu kemenangan ini juga disebabkan doa daripada mereka.
"Selain itu, saya juga ingin memberi sedikit sumbangan kepada tabung Gaza, Palestin kerana simpati dengan nasib rakyat di sana yang memerlukan bantuan," katanya.
Dalam AF 2014 yang berakhir pada Ahad, Firman membawa pulang wang tunai RM50,000 dan sebuah kereta Toyota Vios.

Sumber: Mstar

Firman Juara Akademi Fantasia 2014


SHAH ALAM: Peserta berasal dari Sabah, Firman, 25, diumumkan sebagai juara program realiti Akademi Fantasia 2014 (AF 2014) yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), di sini pada malam Ahad.

Kemenangan itu membolehkan Firman atau nama sebenarnya Mhd Firman Bansir membawa pulang hadiah utama wang tunai RM50,000, Toyota Vios 1.5 TRD Sportivo, percutian ke Osaka Jepun beserta trofi sumbangan Astro yang disampaikan oleh pengetua, Datuk Hattan.


Aman berjaya menduduki tempat kedua Akademi Fantasia 2014. -foto FAIHAN GHANI/The Star

Pada pertandingan yang disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria itu, Firman menyanyikan lagu berjudul Kejoraku Bersatu nyanyian Amy Search dan sebuah lagu baharu, Di Pintumu ciptaan Datuk M.Nasir.

Tempat kedua diungguli peserta daripada Melaka iaitu Aman atau nama sebenarnya Mohd Razman Abdul Aziz, 21, dengan membawa pulang wang tunai RM30,000, Produa Myvi 1.3, percutian ke Osaka Jepun, dan sebuah trofi sumbangan Astro.

Sementara, tempat ketiga dimenangi oleh Ewal atau nama sebenarnya Ikhwal Hafiz Ismail, 22 dengan membawa pulang wang tunai sebanyak RM20,000, percutian ke Osaka Jepun serta trofi.

Manakala tempat keempat dan kelima dimenangi oleh Nuha dan Adel masing-masing menerima RM15,000 dan RM10,000 berserta percutian ke Osaka Jepun dan trofi.

Firman diangkat rakan-rakannya ketika diumumkan juara AF 2014

Sementara itu, Nuha turut dipilih memenangi anugerah khas wang tunai RM10,000 daripada D'Herbs sebagai pelajar paling banyak menunjukkan perubahan sepanjang 10 minggu AF 2014 bersiaran.
Senarai pemenang diumumkan oleh pengacara Zizan Razak, Faizal Ismail dan Jihan Musa.

Selain juri tetap, Ramli MS dan Raja Azura, turut diundang sebagai pengkritik ialah Amy Search.

Selain persembahan para peserta, malam kemuncak itu turut dimeriahkan dengan persembahan Bunkface, Amy Search, Dayang Nurfaizah, Ning Baizura dan Mas Idayu.

Sumber: Mstar