Friday, August 22, 2014

Setahun Tempoh Pantang Bersalin Che Ta Agar Kekal Cantik


Rozita dan suaminya Zain Saidin tidak sabar menanti kelahiran bayi mereka. Foto SHAARI CHEMAT / THE STAR

PETALING JAYA: Pelakon Rozita Che Wan akan menjaga pantang bersalin dan hanya memilih makanan tertentu selama setahun untuk mengekalkan kecantikan tubuh badannya.

Rozita atau lebih mesra dengan panggilan Che Ta, 41, berkata, dia akan mengelak mengambil makanan tidak berkhasiat, sejuk dan berangin yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada diri di usia tua.

"Saya sangat titik beratkan tentang pantang selepas bersalin termasuklah tidak keluar rumah 45 hari dan pantang makan untuk jaga badan.

"Biasanya saya akan berpantang dengan hanya memilih makanan tertentu dalam masa setahun sehingga kadang-kala menyebabkan saya hilang selera seperti tidak lagi gemarkan sayur sawi," ujarnya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka anjuran syarikat Laugh Out Loud milik penyanyi Dafi dan pengurus artis, Afeeq di Binjai 8, Premium Soho di sini Rabu lalu.

Majlis turut dihadiri suami Che Ta iaitu Zain Saidin, Sasha Saidin, Zaina Zain, Sabhi Sadhi, Sherry Ibrahim, Fazli Zainal dan Marsha Milan.

Rozita yang kini hamil tujuh bulan juga mengakui kecewa terhadap segelintir wanita yang mengabaikan amalan berpantang kerana mereka menganggap amalan itu sesuatu yang tidak penting.

Katanya, perkara tersebut merupakan amalan tradisional yang sememangnya berkesan untuk kebaikan kesihatan serta telah diamalkan nenek moyang sejak zaman dahulu.

"Saya kesal melihat wanita yang tidak jaga pantang, walaupun mereka kata mereka kuat untuk keluar atau melakukan aktiviti ketika dalam tempoh berpantang, namun kesan yang akan mereka dapat ketika hari tua.

"Saya lihat emak saya masih kuat walaupun usia dia sudah lanjut. Ini adalah kerana amalan dia yang sangat menjaga pantang ketika bersalin dahulu.

Tambah Rozita, selepas bersalin nanti dia akan dijaga oleh ibunya, Zabedah Saad yang kini berusia 62 tahun.

Dalam pada itu, Rozita mengakui sudah mempunyai nama untuk anak perempuannya dan akan didedahkan pada majlis cukur jambul iaitu tujuh hari selepas kelahiran bayi tersebut.

Bagaimanapun, Rozita berkata, ia akan menjadi hak siaran eksklusif stesen televisyen Astro terlebih dahulu.

Sementara itu, Rozita berkata, suaminya pelakon Zain Saidin merupakan orang yang paling teruja untuk menanti kelahiran bayi itu.

Katanya, Zain tidak membenarkan dia untuk pergi membuat pemeriksaan kandungan itu sendirian tanpa kehadirannya.

"Dia paling teruja, kalau nak pergi check-up, tidak boleh pergi tanpa dia. Sampaikan jadual check-up saya terpaksa ditukar mengikut jadual penggambaran dia.

"Kalau dalam bilik check-up, dia paling sibuk bertanya macam-macam pada doktor dan ambil banyak gambar bayi untuk simpanannya,” katanya.

Selain bayi yang bakal lahir, Che Ta turut mempunyai dua orang anak lelaki hasil perkahwinanya terdahulu iaitu Ammar Effendy, 18, dan Aniq Ezzra, 16.
Sumber: Mstar

0 comments:

Post a Comment