Friday, June 6, 2014

Diana Danielle Tidak Boleh Mengandung Kerana Kontrak

Diana Danielle
KUALA LUMPUR: Pelakon Diana Danielle mengambil pendekatan merancang untuk memiliki anak kedua iaitu dalam masa dua tahun lagi kerana ingin memberi fokus bagi membesarkan anak sulungnya iaitu Muhammad yang kini berusia setahun.

Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson, 23, berkata, memandangkan dia juga mempunyai komitmen sebagai duta kepada beberapa produk, dia merasakan adalah lebih baik kelahiran anak dirancang selepas dua tahun kemudian.

"Nak ikutkan hati teringin juga nak tambah anak. Tetapi saya ada menandatangani kontrak untuk beberapa produk di mana saya tidak boleh mengandung kerana ia akan menyukarkan pergerakan promosi.

"Tambahan pula Muhammad sedang membesar, dia juga perlukan perhatian sepenuhnya daripada saya dan suami (Farid Kamil).

"Mungkin selepas habis kontrak iaitu pada dua tahun akan datang baru kami boleh memikirkan anak kedua," katanya kepada mStar Online.

Diana ditemui pada majlis pelancaran koleksi rekaan baju Hari Raya terbaharu Melinda Looi iaitu Emel by Melinda Looi  di Menara Kuala Lumpur di sini pada Selasa.

Sebanyak 36 koleksi baharu diperagakan pada majlis tersebut dan 20 daripada koleksi berkenaan merupakan gabungan idea bersama Diana.

"Selalunya artis akan menjadi model untuk koleksi-koleksi baju terbaru tetapi saya gembira kerana diberi peluang untuk memberikan idea dalam penghasilan baju raya pada tahun ini.

"Dapat dilihat, baju yang saya reka lebih feminin dan berkonsep sederhana. Berbeza dengan Melinda yang lebih berkonsep avant garde," ujarnya.

Sementara itu, koleksi baju raya yang berharga RM280 hingga RM480 boleh dibeli menerusi laman web www.zalora.com, www.fashionvalet.com dan butik Melinda Looi yang terletak di Jalan Maarof, Bangsar di sini.

Sebahagian daripada jualan tersebut akan disalurkan kepada pesakit-pesakit jantung di Institut Jantung Negara (IJN).
Sumber: Mstar

0 comments:

Post a Comment