Thursday, April 17, 2014

I Am Ziana Zain : Ziana Zain Terpaksa Masuk Kelas Vokal

Ziana Zain
Ziana Zain
Penyanyi Ziana Zain bakal memasuki kelas latihan vokal sebagai persediaan untuk mengadakan konsert solo pertamanya selepas 15 tahun yang dikenali I Am Ziana Zain pada 27 September depan.

Ziana, 46, berkata, pada usianya sekarang dia perlu membuat latihan bagi membetulkan cara pernafasan dan nada yang sesuai memandangkan dia bakal mendendangkan 22 buah lagu pada malam itu nanti.

"Saya bukan lagi berusia 20 tahun dan mampu menyanyi seperti dahulu. Kerana semakin umur meningkat perubahan suara itu akan berlaku dan sebab itulah saya akan masuk kelas vokal.

"Menerusi kelas ini juga saya mahu memperbaiki pernafasan dan nada supaya saya dapat membuat persembahan terbaik buat peminat pada malam itu nanti," katanya kepada mStar Online.

Ziana ditemui pada sidang media konsert berkenaan di Hotel Royale Chulan Damansara di sini, Isnin.

I Am Ziana akan diadakan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) pada pukul 8 malam.

Konsert itu adalah anjuran Gold Earth Pictures dengan kerjasama Ziana Zain Ventures.

Dalam perkembangan sama, Ziana berkata, pementasan Konsert Teaterikal Suara Kita bersama Erra Fazira dan Awie di Istana Budaya bulan lalu turut memberi keyakinan kepadanya untuk meneruskan konsert solonya itu.

"Apabila saya lihat kembali kemampuan saya beraksi di pentas konsert Suara Kita yang memerlukan saya menyanyi, berlakon dan melakukan pelbagai pergerakan ia menambahkan keyakinan bahawa saya mampu menjayakan konsert ini.

"Biarpun umur semakin meningkat, paling penting kita percaya kepada diri sendiri dan positif dalam memastikan sesuatu perancangan itu berjalan lancar," jelasnya.

Sementara itu, Ziana berkata, I Am Ziana Zain diibaratkan sebagai impian menjadi kenyataan kerana dia terpaksa menunggu selama 15 tahun untuk mengadakan konsert solo itu.

Ziana Zain mengakui perubahan usia memaksanya memasuki kelas vokal.

Kata Ziana, pelawaan daripada pihak Gold Earth Pictures untuk menaja konsert berkenaan memberinya peluang untuk merealisasikan hasrat peminat setianya untuk melihat dia beraksi di pentas.

"Saya tidak jangka peluang itu akan tiba selepas 15 tahun menunggu tetapi ia berbaloi dan ini adalah berkat doa daripada semua peminat saya selama ini," katanya.

Untuk rekod, kali terakhir Ziana muncul dengan konsert solo adalah pada tahun 2001 menerusi 'Ziana Zain In The Park' di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Tambah Ziana, dia memilih Melaka sebagai destinasi konsert itu kerana sudah lama berhasrat untuk mengadakan sebuah konsert di negeri kelahirannya.

"Konsert ini juga memberi peluang kepada peminat di luar Lembah Klang terutama di Selatan untuk menyaksikan persembahan istimewa saya," katanya.

Dalam pada itu, Ziana berkata, buat masa ini dia masih belum menentukan sebarang konsep tertentu namun menjanjikan persembahan bertenaga.


Katanya lagi, dia juga bertuah apabila Aubrey Suwito akan bertindak sebagai pengarah muzik pada persembahan itu nanti.

"Sudah lama saya teringin untuk bekerjasama dengan Aubrey dan hasrat itu akhirnya tercapai.

"Apa yang boleh saya jamin tumpuan akan diberikan pada persembahan dan susunan lagu-lagu terbaik saya," katanya.

Tiket untuk menyaksikan konsert I Am Ziana Zain dijual pada harga RM325 (Platinum), RM255 (Diamond), RM155 (Gold) dan RM95 (Silver).

Seramai 100 orang pertama pembeli tiket Platinum akan berpeluang untuk beramah-mesra dengan Ziana pada sebuah majlis selepas konsert diadakan.

Sebarang pertanyaan dan pembelian tiket boleh melayari laman web www.TicketPro.com.my atau menghubungi Vee di talian 012-203 2508 atau Hilmi 012-688 4434.

Sumber: Mstar

0 comments:

Post a Comment