Tuesday, March 11, 2014

Panas: Hanez Suraya Fail Saman Fitnah Bekas Pembantu Peribadi


Pelakon Hanez Suraya Abdul Aziz memfailkan saman terhadap bekas pembantu peribadinya berhubung kenyataan memfitnah dimuat naik dalam laman sosial pada September hingga pertengahan Oktober tahun lepas.

Hanez, 28,memfailkan saman itu menerusi Tetuan Harjit Sandhu di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi di sini pada November tahun lepas telah menamakan Mohd Fairus Mohd Lazim, 28, sebagai defendan.

Media memperoleh salinan saman itu pada Isnin menerusi peguam Harjit Singh dan Wan Nurliyana Abdul Rahman yang mewakili pelakon itu ketika kes disebut di dalam kamar di hadapan Timbalan Pendaftar Adibah Abdul Kadir.

Hanez dalam pernyataan tuntutannya mendakwa Mohd Fairus telah memfitnah dan mengaibkannya menerusi laman sosial Instagram menerusi akaun 'DashaSultan' dan Twitter menerusi akaun 'Dasha_Sultan pada 30 Sept hingga 15 Oktober tahun lepas.

Mohd Fairus juga didakwa telah memburukkan pelakon itu kepada rakan lain dan sering menghubungi wartawan untuk menceritakan perihal dirinya.

Pelakon itu mendakwa pada 16 Oktober tahun lalu, dia telah menghantar satu salinan surat sebelum tindakan 'Letter of Demand' kepada Mohd Fairus menerusi peguamnya tetapi lelaki itu enggan menandatangani salinan surat itu sebagai bukti penerimaan.

Duta kepada produk kecantikan Aura White itu juga mendakwa surat tersebut, antara lain mengarahkan Mohd Fairus untuk membuat permohonan maaf kepadanya secara terbuka dalam masa 48 jam dari tarikh penerimaan surat tersebut, namun Mohd Fairus  telah memuat naik "tweets" selepas menerima surat itu.

Artis itu mendakwa pada 17 Oktober tahun lepas, Mohd Fairus ada berjumpa dengannya dan menyatakan hasrat untuk memohon maaf dan permohonan maaf itu telah dimuat naik Mohd Fairus di Twitter dan Instagram.

Hanez mendakwa selepas permohonan maaf, dia berpendapat bahawa perkara itu telah selesai, namun pada 19 dan 22 Oktober tahun lepas, Mohd Fairus telah "retweet" semula Twitter daripada akaun yang lain bertujuan untuk memalukannya.

Hanez mendakwa perkataan-perkataan fitnah itu membawa maksud dia merupakan seorang pelakon yang sombong, kedekut, tidak menghormati orang lain, mata duitan, lupa diri, sering bermuka-muka dan tidak berfikiran matang.

Dalam pada itu, Hanez menuntut ganti rugi khas, ganti rugi am, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, kos, faedah, satu injunksi untuk menghalang defendan daripada terus menyebarkan fitnah terhadapnya dan lain-lain perintah yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. - BERNAMA

Sumber: Mstar

0 comments:

Post a Comment