Friday, February 14, 2014

KONSERT TEATERIKAL SUARA KITA DAPAT SOKONGAN TOURISM MALAYSIA

KONSERT TEATERIKAL SUARA KITA

Adalah satu kelebihan sekiranya seni persembahan menjadi nadi sesebuah negara atau bandaraya. Kegemilangan seni persembahan sudah lama berakar umbi di bandaraya bandaraya utama dunia terutama di negara negara maju. Malaysia amnya dan Kuala Lumpur khasnya tidak harus ketinggalan dalam meniti peluang ini.

Sebuah pementasan seni persembahan memanifestasikan sosio-budaya setempat. Ia mampu menjadi platform dalam mengenali dan menghayati intipati sesebuah negara, bandaraya dan bangsa. Dengan wujudnya pentas bertaraf antarabangsa seperti Istana Budaya, kita harus mengambil peluang tersebut sebaiknya.


Gandingan bintang popular Awie, Erra Fazira dan Ziana Zain pernah melakar sejarah kutipan tertinggi filem Melayu sebanyak RM4.2 juta menerusi filem Sembilu pada tahun 1994.

Kisah percintaan tiga segi, penuh konflik dan dendam telah mencipta fenomena di khalayak filem Melayu dan seni popular ketika itu.

Lantas dengan imej yang ‘glamour’ dan kontemporari, mereka menjadi ikon anak muda dalam dunia percintaan dan mendapat liputan meluas di media popular. Setelah hampir 20 tahun senario itu berlalu, tiga orang bintang ini akan kembali menggarap kenangan melalui Konsert Teaterikal Suara Kita.

Pementasan selama 7 hari ini berkonsepkan gabungan lakonan dan nyanyian dalam mengimbau episod kegemilangan filem-filem Melayu ‘pecah panggung’ yang pernah menggegarkan sinema Malaysia dua dekad lalu, iaitu Sembilu, Sembilu 2, Tragedi Oktober, Maria Mariana dan Merah.

Filem-filem tersebut dibintangi oleh Awie, Erra Fazira dan Ziana Zain yang menjadi nadi utama Konsert Teaterikal Suara Kita. Persembahan selama 2 jam 30 minit ini akan mementaskan semula sorotan babak dari filem filem tersebut sebagai teras dan latar penceritaan. Ia juga akan diwarnai dengan nyanyian 22 buah lagu malar segar dari Awie, Erra Fazira dan Ziana Zain.

Konsert Teaterikal Suara Kita diterbitkan oleh Awie Entertainment Sdn Bhd dan mendapat sentuhan Erma Fatima sebagai Pengarah Pementasan, Azmi Zainal Abidin sebagai Pengarah Produksi serta Edrie Hashim sebagai Pengarah Muzik. Selain turut membariskan tenaga kerja produksi berpengalaman serta kerjasama erat tenaga kerja pengurusan dan teknikal Istana Budaya.


Melihat akan potensi pementasan tersebut sebagai sebuah produk pelancongan dan budaya popular, pihak Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan Malaysia (MOTAC) telah mengambil inisiatif untuk menyatakan sokongan penuh dan kerjasama kepada Awie Entertainment Sdn Bhd yang bertindak sebagai penganjur.

Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan Malaysia (MOTAC) mengalu-ngalukan dan menggalakkan badan badan korporat melibatkan diri dalam penajaan Konsert Teaterikal Suara Kita atau sebarang kolaborasi yang memberi manfaat kepada kedua pihak. Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan Malaysia (MOTAC) juga mengumumkan insentif potongan cukai kepada badan badan korporat yang terlibat.

Seharusnyalah, Konsert Teaterikal Suara Kita bukan sekadar sebuah pementasan teater muzikal biasa, tetapi menjadi salah satu acara penting dalam kalendar Tahun Melawat Malaysia 2014.Konsert Teaterikal Suara Kita  ini bakal dipentaskan di Istana Budaya pada 3 hingga 9 Mac 2014 ini.


Source: Murai

0 comments:

Post a Comment