Tuesday, February 1, 2011

Harimau Malaya : FAM ambil pendekatan baru untuk terus mantapkan

news @bharian

Harimau Malaya : FAM ambil pendekatan baru untuk terus mantapkan

SKUAD kebangsaan akan dihimpunkan setiap bulan demi memastikan Harimau Malaya terus gemilang menempa lebih banyak pengiktirafan selepas kejayaan Piala AFF Suzuki Disember lalu.
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad berkata, itu adalah pendekatan baru yang dirasakan lebih sesuai dan bertepatan untuk meningkatkan prestasi skuad negara, berbanding kaedah lama yang hanya menghimpunkan pemain untuk latihan pusat menjelang sesuatu kejohanan.

Beliau berkata, latihan pusat setiap bulan bukan saja mampu mengekalkan persefahaman dan kemantapan pemain tetapi juga memudahkan jurulatih menilai tahap prestasi semasa dan membuat program serta perancangan lebih teratur untuk skuadnya.

“Perkara ini sudah mendapat persetujuan semua pihak termasuk pasukan negeri dan kelab yang bersetuju melepaskan pemain untuk tujuan latihan pusat setiap bulan itu,” katanya di Pameran Bola Sepak Piala AFF Suzuki di Muzium Negara, semalam.

Azzudin berkata, latihan pusat berterusan juga memudahkan jurulatih menguji pemain baru berpotensi yang dikenal pasti dalam aksi di liga Malaysia.

Katanya, selain latihan pusat secara bulanan itu, FAM juga akan terus mengatur perlawanan persahabatan menentang skuad kebangsaan atau kelab handalan terpilih dari luar negara bagi memastikan mutu dan kualiti pemain negara terus meningkat.
Jurulatih kebangsaan, K Rajagobal mengakui, usaha FAM itu tepat dan kena pada masanya dalam memastikan kesinambungan kejayaan yang dilakar pada Sukan SEA Laos dan Piala AFF Suzuki tidak terhenti.

“Matlamat kita seterusnya ialah kejohanan Piala Asia di Australia dalam tempoh empat tahun akan datang. Maka, kita harus bersedia dari sekarang dengan membentuk skuad yang benar-benar berkualiti dan mantap untuk mencapai sasaran berkenaan,” katanya more news

0 comments:

Post a Comment